Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain belum pasti dapat menurunkan pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya untuk memperkuatkan pasukan bagi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini ekoran kecederaan lutut.
Tahap kecergasan Syamim masih belum memuaskan untuknya dijadikan sandaran dalam perlawanan penting berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin di mana kali terakhir pemain itu beraksi ketika menentang PKNS FC di peringkat kumpulan A, awal bulan lalu.
Jelas Nafuzi, beliau tidak boleh mengambil risiko pemain yang masih belum cergas sepenuhnya untuk perlawanan penting yang akan menentukan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selain khuatir kecederaan itu akan bertambah teruk.
Namun, seandainya Syamim menunjukkan perkembangan positif dalam latihan, Nafuzi tidak menolak berkemungkinan bekas pemain Felda United itu diletakkan sebagai pemain simpanan, Sabtu ini.
“Saya kena lihat terlebih dahulu keadaan Syamim dalam latihan sehari dua ini untuk memastikan dia benar-benar pulih daripada kecederaan.
“Lagipun, dia baru sahaja sertai sesi latihan dalam dua, tiga hari ini dan tahap kecergasan fizikalnya masih belum menyakinkan untuk saya turunkan dalam perlawanan penting menentang JDT.
“Mungkin kalau 20 minit terakhir itu saya boleh pertimbangkan untuk dia beraksi jika dia menunjukkan tahap kecergasan yang positif dalam sesi latihan dan selepas itu, baru saya fikirkan kembali macam mana,” jelasnya.
Tewas 1-0 kepada JDT dalam suku akhir pertama di laman sendiri pada Sabtu lalu tidak mematahkan semangat skuad Penyu untuk bangkit kembali dalam memastikan mereka layak ke separuh akhir.
Jelas Nafuzi, anak buahnya harus mengelak daripada melakukan kesilapan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos serta memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.
“Saya masih positif walaupun ketinggalan 1-0 kerana bagi saya, perlawanan masih lagi terbuka untuk kedua-dua pasukan merebut tiket ke separuh akhir.
“Walau macam mana pun, kita kena agresif dalam melakukan serangan untuk mendapatkan jaringan dan aspek bertahan juga begitu penting kerana JDT memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan.
“Memang bukan mudah untuk kita menang di Larkin, tetapi dengan kerja keras dan semangat tidak putus asa, saya percaya tiada yang mustahil untuk pasukan kami menguasai suku akhir kedua ini,” katanya.
Kredit foto: Terengganu Football Club