Ranjau berliku bakal ditempuhi Kedah apabila berkunjung ke Stadium Darul Makmur untuk aksi separuh akhir kedua bertemu Pahang selepas terikat 3-3 di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu.
Kelebihan tiga gol yang dibawa pulang pastinya memudahkan tugas pengendali Pahang, Dollah Salleh merencana taktikal bagi mengekang kemenangan buat Kedah kerana jika keputusan seri kurang daripada tiga gol – Pahang tetap ke pentas akhir.
Adakah mudah buat Helang Merah untuk menundukkan Tok Gajah di Darul Makmur? Adakah pemain-pemain Kedah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk pertarungan sengit pada Sabtu ini?
Julai 2011: Pahang 0-1 Kedah
Sejak 2016, rekod pertembungan antara kedua-dua pasukan di Darul Makmur lebih memihak kepada tuan rumah dengan dua kemenangan dan dua keputusan seri. Terkini, dalam kempen Liga Super yang lalu, Pahang meraih kemenangan 1-0 pada Mac lalu.
Menariknya juga, kemenangan Pahang juga adalah tipis, tidak lebih daripada satu gol iaitu 1-0 (Liga Super 2019) dan 2-1 (Liga Super 2017) selain dua keputusan seri 1-1 pada 2016 dan 2017.
Kedua-dua pasukan tidak bertembung sejak 2012 sehingga 2015 kerana berbeza divisyen iaitu Pahang di Liga Premier 2012 dan sejak 2013 hingga 2015, Kedah pula beraksi di Liga Premier.
Kecuali dalam saingan Piala Malaysia 2014, di peringkat suku akhir, Helang Merah dan Tok Gajah ada beradu kekuatan di mana Pahang menang dengan agregat 6-3 – menang 5-0 di Darul Makmur!
Kali terakhir Kedah merekodkan kemenangan di Darul Makmur adalah pada Julai 2011 dalam saingan Liga Super – kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Fiqry Mat Isa. Tahun itu merupakan musim buruk buat Pahang apabila tersingkir ke Liga Premier 2012.
Kelebihan milik Pahang berdasarkan statistik ini dan tampak sukar buat Kedah untuk menidakkan kelebihan yang dimiliki Pahang di laman sendiri. Adakah Kedah memerlukan ‘lampu ajaib’?
‘Lampu ajaib’ di tangan Aidil Sharin
Seorang pengendali yang amat peka dengan taktikal. Mungkin itu adalah suatu perkara yang dapat dilihat kepada pengendali berusia 42 tahun itu sejak kemunculan di Liga Malaysia pada awal musim.
Contoh terhampir adalah ketika aksi menentang Pahang baru-baru ini, di mana pertukaran segeranya memasukkan Azamuddin Akil menggantikan David Rowley dan menolaknya ke jentera sayap mengambil alih posisi kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-30.
Ianya membuahkan hasil apabila pemain sayap berpengalaman itu berhasil menjelmakan dua bantuan gol pada malam tersebut.
Selain itu, percaturannya ketika di pentas akhir Piala FA 2019 menentang Perak juga pasti diingati, iaitu meletakkan Amirul Hisyam Awang Kechik, seorang pemain tengah ke posisi yang ditinggalkan Renan Alves, pertahanan tengah, kerana pemain import itu melalui penggantungan satu perlawanan.
Kedah tidak melepaskan gol malah menjulang kejuaraan Piala FA hasil jaringan pemain muda, Fadzrul Danel yang dimasukkan Aidil Sharin pada minit ke-104 dan terus meledak jaringan kemenangan seminit kemudian. Satu kisah dogeng buat pemain muda itu.
Apa pula yang akan dicaturkan pengendali kelahiran Singapura ini untuk memungkinkan satu perkara yang mustahil kali ini?
Tonik buat Pahang
Setelah beberapa episod drama kecederaan dan penggantungan pemain didendangkan Dollah Salleh, akhirnya pengendali berusia 56 tahun itu menyatakan kem Tok Gajah sudah kembali stabil.
Dengan kembali beraksi di hadapan penyokong sendiri, ini adalah tonik terbaik buatnya untuk membawa Pahang ke pentas final sejak kali terakhir Pahang melakukannya dan menjuarainya pada 2014.
Jeneral baharu Harimau Malaya, Nor Azam Azih antara tonggak penting Pahang bagi merealisasikan impian ke pentas akhir kali ini. Jaringan jarak jauhnya bersama Wan Zaharulnizam tempohari menunjukkan tahap kebersediaan Pahang berdepan Kedah.
Dollah Salleh sudah ‘masak’ dengan kemampuan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal yang acap kali melepaskan gol sebegitu. Jadi, bagaimana Kedah mahu berdepan dengan kemungkinan percubaan sebegitu bakal diciptakan lawan sekali lagi?
Hanya sekali Kedah sekat hajat Tok Gajah
Kedah adalah antara pasukan yang banyak bertembung Pahang di peringkat separuh akhir Piala Malaysia iaitu sebanyak tiga kali – pada 1987, 1994 dan 2014. Begitupun, Selangor dan Singapura adalah pasukan paling banyak mengecewakan Tok Gajah dalam lapan pertembungan dengan Selangor (4) dan Singapura (4).
Dalam tiga pertembungan, hanya sekali Kedah berjaya menyekat hajat Pahang iaitu pada tahun 1987 ketika Kedah ditunjangi Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri Ismail – Kedah ke final, menang 2-4 penentuan sepakan penalti selepas terikat agregat 2-2.
Berdasarkan sejarah itu pun sebenarnya Kedah tewas di Darul Makmur dengan keputusan 1-2 selepas menang tipis 1-0 di Darul Aman. Namun, kemenangan dalam penentuan sepakan penalti itu menjadi kenangan terindah buat Radhi Mat Din sehingga kini.
Penutup
Jadi, memang Kedah memerlukan ‘lampu ajaib’ bagi meloloskan diri ke pentas akhir Piala Malaysia 2019 dan ianya berada di tangan pengendali yang pernah digelar ‘Pep Guardiola Singapura’ itu.
Sebagaimana ungkap Aidil Sharin mengenai apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak itu juga adalah wajaran untuk Kedah merasa sedikit lega dan tenang untuk perlawanan Sabtu ini.
Adakah Kedah bakal mempertaruhkan pemain yang boleh menjadi wira secara tiba-tiba sebagaimana Fiqry Mat Isa, Amirul Hisyam Awang Kechik, Fadzrul Danel dan Azamuddin Akil lakukan?
Pahang pastinya sudah bersedia sebaiknya dengan barisan pemain yang serba lengkap kini, seolah-olah tiada apa-apa yang akan dapat menghalang kemaraan mereka ke pentas akhir kali ini.
Kredit Featured Image: shamicam.blogspot