Ketumpulan penyudah nyata meresahkan ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic menjelang perlawanan keempat kumpulan C saingan Piala Malaysia 2019 bertemu Pulau Pinang yang bakal berlangsung malam ini di Stadium Bandaraya.
Keresahan Mehmed itu tidak boleh dinafikan setelah anak buahnya sekadar menjaringkan empat gol dan dalam masa yang sama turut dibolosi empat gol daripada tiga perlawanan awal dilalui.
Perak berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 bertemu Sabah pada aksi sulung, kemudiannya tewas 0-3 ditangan Pahang dan terikat 1-1 ketika menentang Pulau Pinang di Ipoh tempoh hari.
Meskipun seringkali mencipta serangan, jentera serangan Perak yang diketuai Ronaldo Henrique Silva seakan-akan ‘malu-malu’ untuk meledakkan jaringan dihadapan gawang lawan.
Menurut sumber Stadium Astro, pengendali dari Australia tersebut tanpa berselindung mengakui masalah yang menghantui jentera serangan skuad bimbingannya itu.
“Daripada segi persembahan, tiada sebarang masalah. Kami bermain dengan baik dan berjaya mencipta peluang tetapi tiada penyudah,” Mehmed mengulas mengenai aksi pasukannya ketika bertemu Pulau Pinang di Ipoh.
“Kami mengasak hebat tetapi malangnya tidak dapat menyudahkan peluang.”
“Kepincangan ini membimbangkan kerana saya khuatir ia mungkin menjejaskan hasrat mempertahankan gelaran.”
Juara bertahan Piala Malaysia itu perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan malam ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka ditangga kedua selepas Pahang kini unggul dengan sembilan mata selepas menang kesemua tiga perlawanan.
Perak dan Pulau Pinang ketika ini terikat dengan empat mata, bagaimanapun Perak memiliki kelebihan defisit jaringan.
Kredit foto: Perak TBG