Quantcast

LIGA MALAYSIA TEMURAMAH

Piala Malaysia 2019: Manzoor Azwira Mahu Anak Buah Beri Tumpuan Kepada Dua Pemain Perak Ini

Berdepan Perak di Ipoh pada aksi ketiga peringkat kumpulan, Piala Malaysia 2019, Pulau Pinang mahu kekal berdiplin apabila bertahan serta bersedia daripada segi mental dan fizikal kerana lawannya itu bukanlah pasukan biasa-biasa. Itulah komen pengendali Harimau Kumbang, Manzoor Azwira ketika dihubungi Semuanya BOLA.

Bukan sahaja merupakan juara bertahan Piala Malaysia, Perak juga dikatakan memiliki kekuatan seimbang di setiap bahagian dan Manzoor Azwira menganggap The Bos Gaurus akan menghadirkan ancaman sebagaimana ketika mereka bertemu Pahang dan Sabah.

Mental dan fizikal perlu cukup-cukup kuat

“Pulau Pinang perlu bersedia untuk bertemu pasukan Perak. Bukan sahaja Perak, untuk Kumpulan C ini kita ada juga Pahang dan semifinalis edisi lalu, Sabah. Jika berdasarkan ranking, mengikut apa yang saya lihat, Pahang, Perak dan kemudian Sabah.

“Dari segi kekuatan, daripada penjaga gol sehingga penyerang, Perak sememangnya mantap. Dan bermain di Ipoh pula, saya rasa pastinya mereka akan menyerang dengan tanpa henti,” ujarnya.

manzoor azwira pulau pinang

FOTO: Legasi Lagenda

“Jadi, arahan saya kepada pemain adalah mereka perlu kekal berdisiplin dan dari segi mental serta fizikal perlu cukup-cukup kuat kerana kekuatan Perak bukan pasukan biasa,” tambahhnya.

Untuk aksi Kumpulan C, Pulau Pinang kini berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata selepas merekodkan kemenangan ketika berdepan Sabah. Mereka juga hampir mengejutkan Pahang dalam aksi pembukaan tempohari sebelum tumbang 1-3 di Kuantan.

Taktikal berbeza untuk berdepan Perak

Ketika ditanyakan adakah perancangan taktikal yang sama ketika berdepan Pahang akan diterapkan ketika menentang Perak, pengendali muda ini menjelaskan, Pahang dan Perak adalah pasukan yang berbeza dan memerlukan pendekatan berbeza.

Di Darul Makmur pada aksi pertama kumpulan sebelum ini, Pulau Pinang telah mempamerkan taktikal bertahan sambil menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas pantas daripada bawah. Jelas ketika itu, mereka menggunakan Al-Hafiz Harun di bahagian sayap untuk memulakan asakan ke kubu Pahang.

Julian Bottaro Pulau Pinang

FOTO: MFL

Menariknya, Pahang yang mungkin sedikit overconfident berdepan wakil Liga Premier ini akhirnya membenarkan Harimau Kumbang terlebih dahulu membuka jaringan gol menerusi Julian Bottaro.

“Ia akan berbeza sedikit,” ujar Manzoor Azwira mengenai pelan taktikalnya untuk berdepan juara 8 kali Piala Malaysia itu.

Corak permainan Pahang dan Perak berbeza

“Sebab corak permainan Pahang dan Perak berbeza. Pandangan saya, corak permainan Perak lebih kurang Sabah cuma bezanya kualiti pemain yang Perak miliki. Seperti Pahang, penyerang mereka ada kombinasi antara penyerang dan bek sayap.

“Macam (Matthew) Davies dengan (Mohamadou) Sumareh dan Zubir (Azmi) dengan Norshahrul (Idlan). Ada kombinasi baik di bahagian itu tetapi Perak pula ada kualiti individu seperti kepantasan pergerakan pemain dan work-rate yang tinggi.

“Jadi pendekatan itu, saya tidak cakap ia terlalu berbeza tetapi dengan kemampuan yang Pulau Pinang ada, kita cuba pastikan kita dapat buat kejutan. Kali ini kita cuba buat yang berbeza sedikit dengan aksi menentang Pahang dan pada masa yang sama, kita akan cuba dapatkan paling kurang satu mata ,” ulasnya.

Careca Matthew Davies Pahang Perak

FOTO: Pahang FA

Ini merupakan kali kedua skuad kendaliannya beraksi di halaman lawan selepas aksi menentang Pahang dan sudah tentu Manzoor Azwira memahami tekanan yang bakal dihadapi oleh pemainya.

Careca dan Brendan Gan?

“Bagi saya, semua pemain serangan Perak perlu diberi perhatian. Tetapi saya akan bagi tumpuan lebih kepada Careca,” komennya ketika Semuanya BOLA bertanya mengenai kemampuan dan ancaman yang mampu dijelmakan oleh Brendan Gan.

“Dia [Careca] ada kemampuan dan kelebihan individu yang baik, ada kualiti menerusi rembatan jarak jauh malah dia juga boleh datang daripada belakang,” jelas Manzoor Azwira lagi.

Perak

FOTO: MFL

“Untuk Brendan Gan, saya rasa dia adalah livewire untuk Perak di jentera tengah dan dia mampu bantu bahagian serangan Perak sebab dia sentiasa akan dapat peluang untuk jaringkan gol di depan kotak penalti. Jadi, pemain saya perlu berhati-hati dengan dua pemain ini,” tambahnya lagi mengenai Brendan Gan.

Pulau Pinang berpeluang untuk memintas The Bos Gaurus jika berjaya mengatasi lawannya itu pada aksi ketiga ini. Impian Manzoor Azwira dalam saingan Piala Malaysia adalah untuk buat kejutan jadi pastinya pelbagai perancangan telah dicatur untuk perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, pada malam nanti.

Kredit Featured Image: Perak TBG