Kedah sekali lagi akan melalui pentas akhir tanpa pemain penting dan kali ini dua tonggak pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali akan melalui penggantungan satu perlawanan menjelang aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu ini.
Ia umpama ulangan pentas akhir Piala FA 2019, Julai lalu, apabila ketika itu, Renan Alves digantung satu perlawanan dan memaksa pengendali, Aidil Sharin Sahak merencana formula baharu untuk berdepan Perak. Mujur buat Kedah, ianya membuahkan hasil.
Kini, untuk Piala Malaysia, berdepan kelab serba lengkap seperti JDT, mampukah Aidil Sharin mencari formula yang terbaik?
Jika pengganti Renan Alves adalah seperti di final Piala FA, Amirul Hisyam Awang Kechik bakal dipertanggungjawabkan untuk posisi tersebut namun bagaimana pula dengan posisi Rizal Ghazali?
Sukar untuk membuat andaian siapa yang bakal beraksi di posisi tersebut dan pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dek kerana pemain sayap menyerang JDT bukan calang-calang. Sepanjang musim ini, Rizal Ghazali adalah tonggak tetap di posisi itu.
Ini boleh dikatakan sebagai antara saat paling getir buat pengendali kelahiran Singapura itu apabila kehilangan dua tonggak pertahanan untuk aksi final.
Mungkin dalam beberapa hari sebelum perlawanan akhir ini, Aidil Sharin bakal menemui solusi kepada kelompongan yang bakal ditinggalkan kedua-dua pemain ini samaada perubahan drastik ataupun rombakan kecil untuk kubu pertahanan Helang Merah.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris dipetik berkata kepada Berita Harian, mengharapkan sokongan semua penyokong kepada pengganti Renan Alves dan Rizal Ghazali untuk pentas akhir nanti.
Mohd Asmirul juga yakin dan percaya dengan kemampuan pengendali berusia 42 tahun itu untuk merencanakan sesuatu sebagaimana ketika di pentas akhir Piala FA yang lalu.
“Dalam menentukan barisan pertahanan, saya berasakan beliau mempunyai perancangan tersendiri seperti ketika Kedah beraksi di perlawanan akhir Piala FA menentang Perak pada Julai lalu.
“Justeru, saya tetap yakin dan berasakan pemain yang akan digantikan nanti dapat bermain setaraf dengan semangat yang ditunjukkan Renan dan Rizal. Mereka mampu menunjukkan semangat yang sama,” ujar Mohd Asmirul lagi.