Piala Malaysia 2019: Kedah Dan Pahang Terikat 3-3, Zaquan Adha Watak Penyelamat

Azamuddin Akil Wan Zaharulnizam Pahang Kedah Piala Malaysia

Jaringan Zaquan Adha Abd Razak di minit ke-94 membantu Kedah untuk mengikat Pahang dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Zaquan Adha yang dimasukkan di 10 minit terakhir menggantikan Fernando Rodriguez telah membantu Kedah mengelak kekalahan kedua mereka di gelanggang sendiri sepanjang musim ini selain meneruskan rekod tanpa kalah untuk tujuh perlawanan.

Begitupun, ini bukanlah keputusan yang baik buat Helang Merah apabila melepaskan tiga gol kepada pelawat dan tugas berat menanti mereka dalam aksi timbal balik di Darul Makmur.

Permulaan buruk buat Kedah apabila melepaskan dua gol awal tidak sampai setengah jam perlawanan berlangsung apabila jaringan Wan Zaharulnizam dan Dickson Nwakaeme membantu Pahang untuk mendahului Kedah dengan dua gol sebelum Kedah bangkit mengejar untuk mengikat kedudukan di babak pertama.

Pahang mempamerkan hasrat mereka dengan asakan-asakan awal ke gawang tuan rumah menerusi gerakan daripada koridor kanan yang digerakkan Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh, namun gagal menguji sepenuhnya penjaga gol, Ifwat Akmal.

Hujan lebat dari petang membawa ke malam di Alor Setar sedikit sebanyak telah menyebabkan padang lembab dan licin tetapi tidak mengganggu rentak kedua-dua pasukan terutamanya pasukan pelawat yang rancak mengatur asakan ke kubu Helang Merah.

Pahang Kedah Piala Malaysia
FOTO: MFL

Pemain lincah, Wan Zaharulnizam mengejutkan tuan rumah pada minit ke-13 apabila rembatan jarak jauhnya berjaya menghasilkan jaringan pertama perlawanan selepas menerima hantaran Lazarus Kaimbi, menewaskan Ifwat Akmal buat kali pertama malam ini.

Saddil Ramdani yang tidak dikawal hampir memberikan kelebihan dua gol buat Pahang, namun percubaannya tersasar di minit ke-17 sebelum Dickson Nwakaeme akhirnya merealisasikan jaringan kedua buat Tok Gajah pada minit ke-26, menerusi sepakan penalti.

Menyedari segalanya tidak menjadi, Aidil Sharin Sahak membuat pertukaran dengan membawa masuk pemain sayap, Azamuddin Akil pada minit ke-30, menggantikan David Rowley yang bergelut.

Kemasukkan Azamuddin Akil berjaya mengubah rentak Kedah menerusi asakan yang digerakkan pemain sayap berpengalaman itu dan jaringan pertama Helang Merah adalah hasil gerakkan dan hantaran kemasnya kepada penyerang, Fernando Rodriguez.

Jaringan di minit ke-33 itu kembali melonjak semangat tuan rumah dan dilihat kembali mengimbangi perlawanan. Hasilnya, Kedah telah dihadiahkan dua sepakan penalti namun hanya satu berjaya disempurnakan iaitu di minit ke-38 oleh Fernando Rodriguez.

Seminit sebelum itu, Jonatan Bauman mensia-siakan sepakan penalti pertama Kedah apabila rembatannya ke sudut kiri gol berjaya dibaca baik oleh penjaga gawang, Helmi Eliza Elias. Penjaga gol berusia 36 tahun itu juga sebelum itu berjaya menafikan percubaan Azamuddin Akil pada minit ke-32.

Azamuddin Akil Kedah Pahang Piala Malaysia
FOTO: MFL

Babak kedua bermula dengan penguasaan seimbang kedua-dua pasukan dan permainan kembali dilihat berhati-hati, mungkin untuk mengurangkan kesan bolos dua gol pada babak pertama.

Namun, selepas itu keseluruhan babak kedua kembali menjadi milik Pahang dengan lebih banyak gerakan dicipta oleh pelawat berbanding tuan rumah yang gagal meneruskan aksi yang dipamerkan di penghujung babak pertama sebelum itu.

Tok Gajah beberapa kali menggunakan bahagian sayap kanan untuk memulakan asakan ke kubu Kedah menerusi Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh, sementara Helang Merah memerah keringat Azamuddin Akil, juga di sebelah kanan.

Akhirnya usaha keras Pahang berhasil apabila pemain tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih berjaya meledak jaringan daripada luar kotak penalti di minit ke-73 untuk jaringan ketiga pelawat dan jaringan sulungnya di kempen Piala Malaysia.

Benteng Kedah sedikit longgar menuju 10 minit terakhir dan hampir memakan diri mereka apabila Lazarus Kaimbi terlepas daripada kawalan namun berjaya diselamatkan Ifwat Akmal sebelum Mohamadou Sumareh melepaskan rembatan liar.

Di saat keputusan seakan-akan akan memihak kepada Tok Gajah, Helang Merah akhirnya berjaya memperolehi jaringan penyamaan pada minit ke-94 menerusi tandukkan Zaquan Adha, menyambung dua tandukkan awal oleh rakan sepasukan. Ianya bermula daripada sepakan percuma yang diambil oleh Jonatan Bauman.

Aksi kedua separuh akhir akan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 26 Oktober depan di mana Kedah perlu memburu kemenangan mutlak bagi mengesahkan tiket ke pentas final. Sementara Pahang pula hanya mahukan keputusan seri.

Kredit Featured Image: MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN