Pengendali Sabah, Julius Ating menyifatkan Perak bukan sebuah pasukan yang terlalu kuat namun kekalahan 0-3 skuadnya adalah menjurus kepada kelemahan mereka dalam beberapa aspek.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, The Bos Gaurus meraih kemenangan ke atas Sabah hasil jaringan 3 pemain tengah, iaitu Brendan Gan, Careca dan Leandro.
“Perak bukan satu pasukan yang terlalu kuat sebenarnya. Tapi ia telah dibantu dengan kelemahan pasukan kami sendiri. Kami tidak dapat menunjukkan satu permainan yang bagus pada malam ini.
“Tumpuan pemain sudah hilang di saat-saat akhir,” ujar Julius Ating dalam sidang media sejurus perlawanan mengenai aksi pemainnya.
Sebelum perlawanan berlangsung, skuad Tambadau berazam mahu menebus kekalahan mereka pada aksi separuh akhir edisi lalu di mana mereka tewas besar 0-5, namun sebaliknya berlaku.
Sabah ketinggalan satu gol di babak pertama hasil jaringan jarak jauh Brendan Gan pada minit ke-45 sebelum Careca pula berjaya menembusi gawang pelawat pada minit ke-51.
Gol ketiga tuan rumah hadir di penghujung perlawanan selepas berlaku kekalutan di depan gawang lawan sebelum Leandro berjaya menyentuh mudah bola di depan gawang untuk menamatkan sisa perjuangan Sabah memburu gol saguhati.
“Salah satu, ia dipengaruhi oleh psikologi. Bagi kami, Perak tidak terlalu kuat, tetapi ini mungkin salah satu kesan daripada psikologi di mana tahun lepas kami kalah dengan begitu besar.
“Mungkin hari ini (semalam), pemain terbawa-bawa walaupun mereka cuba bangkit dan membuktikan kami punyai kemampuan. Kami bermain agak kurang memuaskan,” tambahnya lagi.
Bercakap mengenai taktikalnya, Julius Ating berkata fokus mereka bukanlah semata-mata untuk bertahan tetapi cuba untuk tidak bermain terlalu terbuka kerana kekuatan Perak di setiap bahagian.
“Kami datang bukan untuk bertahan sebenarnya. Kami sebenarnya cuba bermain secara bijak kerana kita tahu Perak mempunyai kekuatan di setiap posisi dan kita cuba untuk menyeimbangkan permainan dengan bermain tidak terlalu terbuka,” terangnya.
Perak akan bertandang ke Kuantan menentang Pahang Khamis ini, manakala Sabah akan bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.
SOROTAN PERLAWANAN PM1
Juara bertahan Piala Malaysia, Perak membenam Juara Liga Premier 2019, Sabah dengan keputusan 3-0 dalam saingan Kumpulan C di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Turun dengan skuad terbaiknya, anak buah Mehmed Durakovic bagaimanapun bergelut untuk mendapatkan gol pertama apabila pelawat memberi tentangan hebat.
Gol pendahuluan The Bos Gaurus hanya diperoleh pada minit ke-45 hasil rembatan jarak jauh Brendan Gan.
Momentum serangan The Bos Gaurus diteruskan pada babak kedua apabila Careca berjaya menembusi gawang pada minit ke-51 menerusi rembatan kencang.
Anak buah Jelius Ating dilihat lebih banyak bertahan dan sesekali membuat serangan balas pantas namun gagal menemui penyudah yang baik.
Dalam masa kecederaan, Leandro dos Santos mengambil kesempatan di depan pintu gol Sabah susulan sepakan penjuru dengan menjaringkan gol ketiga tuan rumah.
#PialaMalaysia2019
Posted by Malaysian Football League on Sunday, August 4, 2019