Piala Malaysia 2019: Jaringan Tunggal Diogo Jadi Pemisah Pertembungan JDT, TFC

Diogo Gonzalo Cabrera JDT Terengganu FC Piala Malaysia

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya membawa pulang satu gol ke Larkin selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC dalam aksi suku akhir pertama yang telah berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Jaringan tunggal penyerang sensasi, Diogo pada minit ke-22 menjadi pemisah buat Harimau Selatan dan Sang Penyu dalam perlawanan yang berlangsung sedikit tegang di babak pertama.

Kedua-dua pasukan dilihat saling mengasak ke benteng lawan namun kelebihan sedikit memihak kepada JDT apabila beberapa kali berjaya membuat percubaan ke gawang tuan rumah dan Terengganu FC hanya berjaya membuat percubaan pertama kepada Farizal Marlias selepas sejam perlawanan berlangsung.

Harimau Selatan yang kembali turun dengan gandingan Diogo, Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera dan Leandro Velazquez dilihat sering menjadi ancaman buat benteng Terengganu FC yang ditunjangi oleh Serhii Andrieiev dan Nasrullah Haniff.

Antaranya, percubaan lemah Safawi Rasid di minit ke-9 selepas menerima lambungan Leandro Velazquez di dalam kotak penalti namun mudah untuk ditangkap oleh penjaga gol Terengganu FC, Wan Azraie Wan Teh sebelum JDT hadir sekali lagi menerusi rembatan liar oleh Leandro Velazquez pada minit ke-17.

Minit ke-22, Diogo berjaya memberikan JDT gol pendahuluan selepas menerima bola daripada tandukan tipis Safawi Rasid seterusnya memperdaya pertahanan lawan, Serhii Andrieiev sebelum melepaskan rembatan deras kaki kiri untuk gol ke-6 peribadinya di Piala Malaysia – 20 gol dalam 28 penampilan.

Terengganu akhirnya berhasil memasuki kawasan gol pelawat namun Tchetche Kipre gagal manfaat hantaran lintang Ashari Samsudin pada minit ke-34 apabila sentuhannya sedikit tersasar. Seharusnya Sang Penyu lebih dominan menguasai bola apabila beraksi di halaman sendiri namun sebaliknya berlaku.

Safawi Rasid JDT Terengganu FC Piala Malaysia
FOTO: JST

Menepati status pertembungan antara naib juara Piala Malaysia 2018 dan juara Liga Super 2019, perlawanan berlangsung agak panas dengan beberapa kad kuning telah dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi sebelum ianya tampak semakin tegang di penghujung babak pertama.

Minit ke-53 dan ke-54, Safawi Rasid dan Leandro Velazquez hampir meledak gol kedua buat pelawat namun percubaan kedua-duanya berjaya diselamatkan oleh pertahanan, Nasrullah Hanif dan juga penjaga gol, Wan Azraie. Percubaan Safawi Rasid paling hampir apabila diselamatkan oleh Nasrullah Haniff di depan gawang.

Pengendali sementara Terengganu, Nafuzi Zain membawa masuk pemain sayap, Rahmat Makasuf dan penyerang, Abdul Malik Mat Ariff untuk meningkatkan tempo asakan ke kubu lawan disamping kembali menghidupkan Tchetche Kipre di jentera serangan.

Percaturan perubahan pemain yang menampakkan hasil apabila Farizal Marlias berjaya menyelamatkan percubaan pertama tuan rumah menerusi rembatan deras jarak jauh Sanjar Shaakhmedov di minit ke-65, selepas menerima hantaran Tchetche Kipre.

Namun ianya penguasaan singkat apabila Harimau Selatan berjaya mengekang kebangkitan Terengganu FC. Sekali lagi Safawi Rasid berhasil menewaskan Wan Azraie yang keluar meninggalkan golnya namun penyudah itu mengegar tiang gol di minit ke-72.

JDT mengurangkan asakan disamping memperkemaskan disiplin bertahan untuk terus mengecewakan tuan rumah dalam memburu gol penyamaan dan tiada lagi asakan berbahaya dicipta oleh kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat ditiupkan.

Terengganu FC akan berkunjung pula ke Larkin pada 28 September depan untuk aksi suku akhir kedua dan dengan kemenangan tipis ini, pastinya ianya bukanlah kelebihan besar buat JDT nanti.

Kredit Featured Image: Johor Southern Tigers (JST)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN