Piala Malaysia 2019: Gol David Rowley Legakan Kedah, Menang 2-1 Di Manjung

1 David Rowley PKNP FC Kedah Piala Malaysia

Jaringan Fernando Rodriguez dan David Rowley di babak kedua membantu Kedah untuk bangkit menewaskan PKNP FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 dengan keputusan 2-1 di Stadium MP Manjung, sebentar tadi.

Kedah boleh menarik nafas lega apabila bangkit untuk menang dalam pertembungan pertama ini disamping membawa pulang dua gol di tempat lawan untuk menyukarkan tugas PKNP FC apabila bertandang ke Darul Aman pada 29 September ini.

The Juggernaut tampak mempamerkan permainan pantas dan bergantung dengan serangan balas pantas untuk mengasak ke benteng Kedah sejak daripada awal permainan menerusi pemain muda, Mukhairi Ajmal yang semakin meningkat naik namanya.

Perlawanan dilihat seimbang menerusi asakan daripada kedua-dua pasukan namun keadaan padang yang basah akibat hujan lebat di lewat petang tadi, mungkin sedikit mengganggu rentak PKNP FC dan Kedah dalam mengatur serangan lebih baik ke kubu lawan.

Begitupun, satu perlawanan yang penuh intensiti tinggi daripada kedua-dua pasukan dalam memburu gol pertama dengan Kedah berhasil mencipta dua peluang namun gagal memanfaatkannya. PKNP FC pula hanya berjaya melakukan satu percubaan ke gawang pelawat menerusi sepakan percuma kapten, Hafiz Ramdan.

Untuk aksi ini, Kedah turun dengan satu perubahan, Khairul Helmi menggantikan Shakir Hamzah yang digantung perlawanan sementara PKNP FC pula membawa masuk semula Giancarlo menggantikan penjaring satu gol tempohari, Khairul Asyraf.

Yashir Pinto PKNP FC Kedah Piala Malaysia
FOTO: MFL

Percubaan pertama Helang Merah hadir di minit ke-21 menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar daripada luar kotak penalti yang berjaya dinafikan dengan cemerlang oleh Shafiq Afifi, yang juga menafikan tandukkan Jonatan Bauman sebelum itu.

Minit ke-37, umpanan pemain berusia 17 tahun, Mukhairi Ajmal yang menewaskan Renan Alves sebelum melepaskan hantaran ke dalam kotak penalti kepada Yashir Pinto berhasil untuk meledak gol pertama PKNP FC – gol ke-4 peribadinya dalam Piala Malaysia.

Masih segar dengan dua golnya dalam aksi terakhir Kumpulan B menewaskan PJ City beberapa hari lalu, Yashir Pinto secara tiba-tiba mengejutkan kem Kedah menerusi jaringan menariknya ketika penguasaan sebenarnya sedikit memihak kepada pelawat.

Sentuhan dan ledakan pertama Fernando Rodriguez dalam aksi malam ini pada minit ke-50 berjaya memberikan gol penyamaan buat Kedah selepas menerima bola daripada Jonatan Bauman. Kali pertama PKNP FC bolos di Manjung selepas dua perlawanan.

Sepanjang babak pertama, penyerang kelahiran Sepanyol ini dilihat senyap akibat dirantai kemas oleh benteng PKNP FC. Aksi baik Fadhil Idris dan Pedro Victor menghalang hantaran-hantaran akhir pelawat berjaya mengekang asakan yang dicatur Helang Merah.

The Juggernaut dilihat kembali memperkemaskan jentera serangan dengan serangan-serangan pantas terutamanya ke posisi bek kiri Kedah yang ditunjangi Azmeer Yusof yang gagal dibantu Farhan Roslan. Tekanan demi tekanan diberikan oleh PKNP FC memaksa Aidil Sharin membawa masuk Fayadh Zulkifli untuk Farhan Roslan.

Kedah kembali di depan apabila sepakan percuma di sebelah kanan gawang PKNP FC yang diambil Baddrol Bakhtiar berjaya ditanduk tipis oleh David Rowley pada minit ke-73 untuk jaringan pertamanya buat Kedah dalam semua pertandingan musim ini.

Tempo kedua-dua pasukan selepas itu semakin perlahan dengan tiada asakan berbahaya dicipta oleh jentera serangan masing-masing. Tuan rumah akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan tewas 1-2 kepada Kedah untuk menyambung semula pertempuran aksi kedua di Stadium Darul Aman pada Ahad ini.

Kredit Featured Image: Kedah FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN