Pahang muncul sebagai pasukan pertama yang berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas menundukkan Sabah 1-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Jaringan tunggal Dickson Nwakaeme pada minit ke-58 telah membantu Pahang mengekalkan rekod 100% kemenangan dalam empat perlawanan yang dilalui.
Kemenangan dan kemaraan ke suku akhir itu nyata menggembirakan ketua jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh yang memuji serta bangga dengan semangat ditampilkan barisan pemainnya.
”Alhamdulillah hari ini (malam tadi) kita dapat catat tiga mata dan seterusnya melayakkan diri ke suku akhir.”
”Cuma perlawanan pada malam ini nampak Sabah bermain dengan lebih tersusun pada separuh masa pertama, lebih banyak menyerang dekat kawasan pasukan Pahang dan mereka juga terlepas beberapa peluang.”
”Saya sudah berpesan kepada pemain bahawa hari ini Sabah ‘nothing to lose’, mereka akan bermain berhabis-habisan dan benda itu terbukti dalam separuh masa pertama.”
”Saya nasihatkan juga dalam separuh masa kedua, saya beritahu: ”kalau awak main sambil lewa, mereka akan datang lagi (menyerang)”. Alhamdulillah nampaknya kita bangkit dalam separuh masa kedua tetapi tak juga banyak mencipta ruang-ruang untuk menjaringkan gol.”
Sedar tekanan yang diberikan Sabah, Dollah melakukan pertukaran pemain yang disifatkannya merintis kepada perubahan terhadap aksi anak buahnya.
”Selepas masuknya Faisal Halim dan Ejat (Zuhair Aizat), nampaknya banyak perubahan begitu juga dengan Salamon (Raj), banyak perubahan pada pasukan dan selepas itu kita lebih banyak menyerang dan dapat juga menjaringkan gol.”
”Apa sekalipun keseluruhannya saya berpuas hati dan saya rasa bangga dengan semangat pemain dan kita memang kita idam-idamkan (kemenangan) untuk malam ini.”
Kredit foto: Malaysian Football League