Aksi terakhir Kumpulan B, Piala Malaysia 2019 antara PKNP FC dan PJ City FC pada esok malam terpaksa ditunda ke tarikh baharu selepas beberapa pemain The Phoenix dijangkiti virus Influenza B.
Perlawanan penentu nasib antara kedua-dua pasukan itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium MP Manjung telah ditunda ke Jumaat, 20 September 2019 di venue dan masa yang sama.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah memuat naik kemaskini jadual terkini Piala Malaysia 2019 di laman Facebook rasmi mereka mengenai perubahan jadual tersebut pada malam semalam.
“Demi pelaksanaan tanggungjawab sebagai sekretariat liga untuk menjaga kepentingan dan kebajikan pihak pasukan lawan, pemain, pegawai serta penyokong, pihak MFL telah mengambil langkah dan membuat keputusan untuk menunda perlawanan antara PKNP dengan PJ City ke tarikh 20 September ini bagi memastikan penyakit ini tidak merebak.
“MFL sentiasa memandang serius isu ini dan percaya tempoh masa yang diberikan itu akan dapat membantu pasukan PJ City melakukan persediaan untuk berdepan PKNP pada tarikh baharu berkenaan,” memetik kenyataan daripada pihak MFL.
Perubahan tersebut juga telah menyebabkan jadual peringkat suku akhir pertama antara juara Kumpulan A dan naib juara kumpulan B juga dipinda kepada 24 September depan.
Dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah disahkan layak ke suku akhir sebagai juara kumpulan, PKNP FC dan PJ City akan tampil di aksi terakhir untuk merebut satu lagi tiket sebagai naib juara kumpulan.
Ketika ini, PJ City berkelebihan apabila berada di kedudukan kedua dengan sembilan mata sementara PKNP FC pula berada dua mata di belakang The Phoenix dan UiTM di kedudukan tercorot.
Dalam aksi minggu lalu, PJ City tewas 2-3 kepada JDT di laman sendiri hasil dua jaringan Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid dengan Bae Beom-gun dan Pedro Henrique meledak gol buat mereka.
PKNP FC pula menang bergaya ke atas UiTM FC dengan keputusan 4-0 hasil hatrik penyerang import, Giancarlo dan Hafiz Ramdan dalam aksi yang berlangsung di Stadium MP Manjung.
Berdasarkan rekod, terdapat satu aksi di Liga Super sebelum ini yang telah ditunda akibat virus Influenza B iaitu perlawanan antara JDT menentang PJ City pada 10 Julai yang lalu. Namun, ketika itu beberapa pemain utama dan barisan kejurulatihan JDT yang telah disahkan dijangkiti virus tersebut – bukanlah pemain PJ City.
Selain itu, MFL turut memaklumkan mereka sudah meluluskan permohonan Sarawak untuk menukar tarikh perlawanan separuh akhir pertama Piala Cabaran menentang UKM FC di Stadium Sarawak, Kuching daripada 21 September kepada 22 September.
Kredit Featured Image: PJ City FC