“Kita kena ambil kesempatan dengan kepenatan mereka,” tegas pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengenai aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 di antara Kedah dan PKNP FC yang akan berlangsung pada malam esok di Stadium MP Manjung.
Baru beraksi menentang PJ City FC untuk perlawanan terakhir Kumpulan B, pasti ianya telah sedikit sebanyak menjejaskan tahap kecergasan pemain-pemain PKNP FC yang telah berhempas pulas untuk menewaskan lawan dan menempah tiket ke suku akhir.
Tiga kali berturut-turut aksi di Manjung
Dalam aksi yang dimenangi oleh anak didik Abu Bakar Fadzim itu, PKNP FC telah beraksi dengan tempo yang tinggi untuk memaksa PJ City yang majoriti pemainnya baru pulih daripada masalah kesihatan, telah gagal memberikan saingan dan kepenatan.
“Ya, betul, PKNP memiliki momentum yang baik dan mereka juga bersemangat kerana dua perlawanan berturut-turut bermain di laman sendiri,” jelasnya ketika dihubungi Semuanya BOLA dan memaklumkan akan menggunakan kelebihan rehat yang lebih.
Termasuk aksi menentang Helang Merah pada malam esok, The Juggernaut akan beraksi tiga perlawanan berturut-turut di Manjung bermula dengan kemenangan 4-0 ke atas UiTM FC pada 13 September dan menang 3-0 ke atas PJ City (22 September).
Kita tidak boleh kalah
Ketika ditanya impak rehat yang panjang kepada Kedah, bagi pengendali berusia 42 tahun itu, ada baik dan juga buruk apabila pasukan terpaksa rehat dalam satu jangka yang panjang.
“Aspek baiknya adalah kami tidak penat. Yang tidak baiknya, kami tidak dapat berlatih terutamanya secara taktikal kerana kami tidak tahu siapa lawan kami sehingga pada Ahad lalu iaitu PKNP.
“Pada saya kita bermain dua perlawanan dan apa yang penting kita tidak boleh kalah di Manjung . Dapat satu, dua gol adalah bonus untuk Kedah,” ujar Aidil Sharin mengenai sasaran pada esok.
Dalam pertembungan Liga Super sebelum ini, Kedah merekodkan satu kemenangan iaitu 2-0 di Manjung sebelum kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi di Darul Aman pada 5 Julai.
Giancarlo dan Yashir Pinto
“Bagi saya, ini adalah pertandingan kalah mati, lain dari liga. Apa- apa boleh terjadi dan kita kena fokus 100 peratus di laman sendiri serta lawan, kalau mahu layak ke separuh akhir,” tambahnya lagi.
Ketika Semuanya BOLA bertanyakan mengenai pemain tumpuan untuk pasukan lawan selain Giancarlo, Aidil Sharin menyebut Yashir Pinto juga wajar diberikan perhatian dalam aksi pertama nanti.
Yashir Pinto baru meledak dua gol dalam perlawanan dengan PJ City tempohari dan telah mengumpul tiga gol keseluruhan, sementara penyerang berbisa The Juggernaut, Giancarlo pula telah mengumpul empat gol dalam enam perlawanan.
“Ya, Giancarlo adalah salah seorang daripadanya (tumpuan). Dan Yashir Pinto juga pemain lain yang perlu diperhatikan kerana sudah mula menjaringkan gol,” jawab pengendali kelahiran Singapura itu.
Shakir Hamzah tiada
Semuanya BOLA turut memohon pengesahan mengenai status pemain-pemain untuk perlawanan menentang PKNP FC nanti. Menurut Aidil Sharin, hanya pertahanan tengah, Shakir Hamzah tiada untuk pertembungan suku akhir pertama nanti.
Dengan kembalinya pertahanan tengah, Renan Alves ke dalam skuad selepas penggantungan, Kedah kehilangan pula khidmat gandingannya, Shakir Hamzah dan pastinya kudrat Amirul Hisyam Awang Kechik akan ditagih sekali lagi di benteng tengah.
Selain itu, kapten Helang Merah, Baddrol Bakhtiar ketika ini telah mengumpul dua kad kuning, dan jika menerima kad ketiganya ketika di Manjung, beliau bakal terlepas aksi di Darul Aman. Bercakap mengenainya, Aidil Sharin berkata ianya diluar kawalan.
“Ya (ada bercakap dengan Baddrol Bakhtiar). Tapi, kita tidak boleh kawal. Dalam 90 minit, apa-apa boleh terjadi jadi, kita harus bermain macam biasa sahaja,” jelasnya sebelum menutup bicara.
PKNP FC akan melayan kunjungan Kedah di Stadium MP Manjung pada malam esok untuk aksi suku akhir pertama Piala Malaysia.
Kredit Featured Image: Kedah FA