Malam ini satu slot separuh akhir unifi Piala Malaysia 2018 bakal diisi oleh pasukan Terengganu FC (TFC) atau FELDA United apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Namun begitu, pengendali TFC, Irfan Bakti mahu anak buahnya berwaspada terhadap serangan FELDA United kerana rekod skuad itu di gelanggang sendiri ketika perlawanan Piala Malaysia tidak begitu baik.
“Buktikan bukan hanya hebat di tempat lawan tapi juga jaguh di kampung sendiri,” kata Irfan seperti dipetik dalam Berita Harian.
Irfan turut berkata, kekalahan dua kali berturut-turut di laman sendiri kepada Perak dan Kuala Lumpur serta seri dengan naib juara Liga Perdana musim ini, FELCRA FC pada aksi peringkat kumpulan tidak boleh dijadikan pencapaian sebenar pasukan.
“Aksi suku akhir tidak sama dengan peringkat kumpulan kerana formatnya berbeza, begitu juga auranya tidak sama malah tidak boleh dijadikan ukuran sebenar skuad kami.
“Oleh itu saya percaya pemain kami sudah melupakan kekalahan itu dan mereka bertekad untuk bermain bermati-matian bagi meneruskan misi ke separuh akhir,” kata Irfan yang mahukan pemainnya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri.
Selain itu, beliau dijangka akan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama selepas ketiadaan pertahanan tengah, Wan Amirzafran Wan Nadris yang terpaksa melupakan piala itu selepas mengalami kecederaan di bahagian lutut.
“Kami akan mengamalkan corak permainan menyerang dengan formasi 4-4-2 untuk mencari jaringan awal biarpun sudah ada bekalan susulan kemenangan 2-1 pada aksi pertama di tempat lawan.”