Bekas pengendali skuad Harimau Malaya yang kini bersama PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, tekad membawa pasukannya melangkah ke perlawanan akhir untuk menjuarai Piala Malaysia tahun ini.
Ia adalah sesuatu yang belum berjaya dilakukannya ketika membimbing skuad Kelantan dan Selangor. Justeru itu, beliau melihat perlawanan menentang Perak di suku akhir Piala Malaysia merupakan peluang yang terbaik untuk melakukannya.
“Ketika saya mengendalikan Selangor dan Kelantan, saya sekadar menamatkan saingan dalam separuh akhir. Bersama Terengganu, kami menyedari terdapat banyak saingan yang ditampilkan oleh pasukan lain,” katanya kepada Stadium Astro.
Rekod Rajagobal sepanjang kariernya bergelar jurulatih, hanya pentas separuh akhir sebagai pencapaian terbaik dalam saingan Piala Malaysia.
Bersama PKNS yang merupakan pasukan banyak berjasa kepadanya, bermula sebagai staf PKNS, pemain dan juga jurulatih, Rajagobal mahu mengakhiri saingan Piala Malaysia musim ini dengan kenangan yang lebih manis.
Bakal berkunjung ke Ipoh dalam saingan pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia, Rajagobal tidak kisah andai PKNS dilabel sebagai pasukan hingusan.
Hakikatnya, skuad PKNS akan diberikan tugasan penting dalam usaha memastikan gerakan anak buah Mehmet Durakovic, terutama melibatkan pemain import, tidak mudah merencana asakan ke kubu PKNS.
“Perak adalah pasukan pilihan. Tetapi PKNS menampilkan peningkatan dan usaha pemain menyaksikan kami berjaya mara ke suku akhir,” kata Rajagobal kepada Astro Arena.