Meskipun bakal bertandang ke gelanggang lawan untuk perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Larkin, pengendali Pahang, Dollah Salleh tetap berpuas hati dengan keputusan seri, 1-1 ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Malah, Dollah menegaskan skuad tok gajah masih belum mengangkat bendera putih kerana mereka masih lagi mempunyai baki 90 minit untuk menafikan Harimau Selatan mengisi slot separuh akhir.
“Oleh itu, kami perlu membetulkan beberapa kesilapan terutama pada separuh masa kedua bermula apabila kita melepaskan gol awal.
“Sepatutnya, pemain lebih fokus sebaik wisel ditiup tetapi mereka belum sedia dan kami dihukum dengan jaringan lawan pada minit ke-46. ”
“Gol berkenaan menyentap moral pemain walaupun pada saat- akhir gol penyamaan berjaya diperolehi sekali gus menghalang JDT meraikan kemenangan,” katanya kepada Berita Harian.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, sekiranya tewas di Stadium Darul Makmur semalam, ia akan menyukarkan Pahang untuk memberi tentangan sengit di Larkin nanti.
“Secara keseluruhannya, rentak permainan pasukan tersekat kerana JDT melengah-lengahkan perlawanan yang memberi kesan terhadap persembahan pasukan.
“Pada masa sama, kita juga gagal bermain dengan baik terutama pada babak kedua dan jaringan penyamaan di penghujung permainan melegakan kami. “Saya harap pada aksi suku akhir kedua Pahang dapat mencipta kemenangan biarpun JDT dilihat memiliki kelebihan,” katanya.