Saingan unifi Piala Malaysia 2018 kini semakin hampir ke penghujungnya apabila 6 pasukan sudah mengesahkan tiket ke suku akhir yang akan bermula pada bulan ini.
Perak mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Terengganu FC, 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Walaupun tewas namun Terengganu turut layak apabila mendahului Kumpulan A berkongsi 10 mata bersama Perak bagaimanapun dipisahkan dengan perbezaan gol.
6⃣ pasukan telah layak ke pusingan suku akhir unifi Piala Malaysia 2018:
Perak (@mediaperaktbg)
Terengganu FC (@FCTerengganu)
Felda United FC (@feldaunitedfc)
PKNS FC (@ThePKNSFC)
Sabah (@sabahfamedia)
Pahang (@MediaPhgFA)#unifiPialaMalaysia2018— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2018
Dalam saingan kumpulan B, PKNS FC melakar kejutan apabila menewaskan Melaka United, 2-1 sekaligus mengiringi FELDA United ke suku akhir dengan berbekalkan 10 mata. Namun, status sebagai juara dan naib kumpulan B akan ditentukan dalam perlawanan terakhir pada 15 September ini.
Sementara itu, Sabah yang sudah pun mengesahkan tiket lebih awal muncul sebagai juara Kumpulan D dengan 13 mata selepas menundukkan PKNP FC 2-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang.
Kemenangan Sabah itu telah memastikan Pahang turut layak ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan D tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir di peringkat kumpulan pada 16 September ini.
2 lagi slot suku akhir menjadi rebutan di antara pasukan MIFA, Kedah, JDT dan Kelantan daripada kumpulan C. Ketika ini, MIFA berada di kedudukan teratas kumpulan dan terikat 8 mata dengan pasukan Kedah.
2⃣ slot terakhir bagi pusingan suku akhir akan ditentukan dari Kumpulan C, diantara pasukan MIFA, @MEDIAKFA, @OfficialJohor dan @kelantanrw.
Pasukan-pasukan manakah akan layak? 🤔#unifiPialaMalaysia2018 pic.twitter.com/xU6lPwMyN0
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2018
Nasib JDT dan Kelantan bagaikan telur di hujung tanduk apabila mereka wajib memburu kemenangan bagi memintas kedudukan MIFA dan Kedah. Ia merupakan persaingan yang sangat sengit dan dijangka akan menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.
Piala Malaysia kini direhatkan selama hampir 2 minggu untuk memberi laluan kepada tugasan antarabangsa yang melibatkan 2 perlawanan persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya menentang Taiwan dan Kemboja.