Perlawanan separuh akhir 1 Piala Malaysia semalam menyaksikan Perak gagal memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri apabila hanya mampu mencatat keputusan seri ketika menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh semalam.
Situasi itu turut mengundang rasa tidak puas hati ketua jurulatih JDT, Ulisses Morais yang menggangap perlawanan semalam merupakan perlawanan yang sukar.
“Mengenai perlawanan pada malam ini, kami tidak 100% berpuas hati dengan keputusan seri 1-1. Kami hanya tidak bernasib baik atas jaringan yang diberikan kepada Perak kerana pada masa itu kami sedang menguasai permainan. Tetapi tidak mengapa kerana ia sememangnya satu perlawanan yang sukar ”
“Saya akui pasukan Perak bermain dengan prestasi yang sangat berbeza, lebih-lebih lagi bermain di halaman sendiri. Namun begitu, para pemain kami juga bermain dengan agak baik ”
“Kami juga mempunyai banyak peluang untuk menghasilkan jaringan berbanding pasukan Perak sepanjang 90 minit perlawanan tersebut. Walaubagaimanapun, saya yakin kami mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi perlawanan ini di pusingan kedua,” katanya melalui laman facebook rasmi JST.
Namun begitu, Morais enggan menyalahkan Hasbullah Abu Bakar selepas pemain pertahanan muda itu cuba menghalang hantaran Gilmor Filho kepada Zaquan Adha namun tertampan masuk ke gawang sendiri.
“Mengenai Hasbullah, bagi pandangan kami beliau telah mempamerkan aksi perlawanan yang sama seperti para pemain kami yang lain. ”
“Yang pastinya, kami tidak terus mengalah selepas berlakunya kesilapan akibat jaringan tersebut. Malah kami tahu bahawa kami perlu memasukkan pemain yang akan memberikan lebih saingan lagi”
“Hasbullah merupakan seorang pemain yang sangat hebat dan profesional, sama juga seperti yang lain. Bagi kami, kesilapan itu bukan disebabkan kerana beliau sedang gemuruh.”
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami telah ketinggalan pada separuh masa pertama oleh itu kami perlu melakukan sesuatu iaitu dengan memasukkan Fazly Mazlan untuk mengubah strategi,” jelasnya.
JDT akan bertemu Perak pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini. Pemenang akan mara ke perlawanan akhir yang akan berlangsung bulan depan di Stadium Shah Alam.