Kedah dan Felda United akan berentap pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad ini sebelum aksi kedua di Stadium Darul Aman pada 21 Oktober ini. Berdasarkan rekod pertemuan, Kedah masih gagal meraih kemenangan ke atas Felda United sepanjang musim ini.
Mereka terikat 1-1 di Jengka selain tewas 1-3 di Alor Setar dalam saingan Liga Super. Walaubagaimanapun, Kedah tetap menyasarkan untuk melangkah ke final Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut dan berwaspada dengan ancaman Felda United di Jengka.
Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui pasukannya perlu berwaspada untuk berdepan anak buah B Sathianathan di Jengka, namun tetap yakin skuad Helang Merah mampu mendapat keputusan positif.
“Prestasi Felda United semakin baik sejak dikendalikan Sathianathan. Pengalamannya berjaya menyumbang sesuatu kepada pasukan itu dan kami juga perlu mencari jalan untuk mengatasi mereka.”
Baddrol baru sahaja pulang ke tanah air selepas terlibat dalam saingan kelayakan Piala Asia di Hong Kong bersama skuad kebangsaan yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2 kepada Hong Kong.
Pemain lain yang turut bersama Baddrol dalam skuad Harimau Malaya termasuk Khairul Helmi Johari, Akram Mahinan dan Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Fitri Omar.
“Sebagai pemain, anda tidak dapat mengelak daripada rasa keletihan selepas perjalanan jauh. Namun, sebagai pemain profesional, kami sudah biasa menghadapinya,” katanya.