Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui tugas skuad Harimau Selatan kini masih lagi belum selesai di pentas suku akhir Piala FA 2024/2025 biarpun mereka sudah mencatat kemenangan besar 5-0 pada perlawanan pertama.
JDT yang hadir selaku pasukan pilihan tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk mengatasi cabaran Malaysian University Football Club (MUFT) walaupun beberapa rombakan besar dibuat Bidoglio di kesebelasan utama.
Pada aksi tersebut, JDT membuktikan kepada orang ramai mengapa mereka wajar menjadi kelab gergasi di Malaysia kini untuk mengetepikan cabaran mudah daripada MUFT menerusi keputusan penuh 5-0.
Walaupun lawan lebih banyak berkampung di kawasan sendiri, ianya bukan suatu cabaran besar untuk dihadapi oleh Harimau Selatan untuk membanggakan para penyokong mereka di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Selangkah ke separuh akhir, pastinya ramai menjangkakan JDT tidak akan menghadapi sebarang kesukaran untuk mengatasi cabaran lawan dan berkemungkinan pesta gol akan terus berlangsung di SSI dalam fikiran para penyokong.
Namun, Bidoglio mengakui beliau enggan mendabik dada kerana mereka masih memiliki tempoh 90 minit lagi untuk terus menghadapi cabaran MUFT di gelanggang sama.
Malah, pengendali berpengalaman itu juga menuntut supaya para pemain mampu kekal komited di atas padang untuk menghadapi cabaran pasukan lawan.
“Walaupun mempunyai kelebihan setelah menang 5-0, kami perlu kekal fokus kerana apa sahaja boleh berlaku di atas padang dan saya mahu pastikan rentak kemenangan diteruskan pada 5 Julai nanti.
“Kami juga berdepan kesukaran pada babak pertama perlawanan itu setelah benteng pertahanan lawan cukup padat dan tidak memberi ruang kepada JDT untuk membuat gerakan.
“Di babak kedua, kami mula temui rentak serangan dan berjaya membuka ruang untuk melakukan percubaan ke arah gol, dari situlah kami dapat sentuhan penyudah untuk menjaringkan empat gol,” katanya menerusi laporan KOSMO.
Pada masa sama, Bidoglio turut menghamburkan pujian kepada kualiti ditampilkan oleh MUFT walaupun mereka hadir daripada saingan Liga A1 Semi Pro serta menampilkan bakat-bakat muda.
Apa tidaknya, disiplin pertahanan ditampilkan pasukan itu berjaya untuk sekurangnya di separuh masa pertama apabila mereka hanya membenarkan JDT meledak satu gol sahaja menerusi pertahanan Harimau Malaya, Corbin Ong.
Hadir dengan status juara bertahan, pastinya ramai pemerhati bola sepak tempatan ingin melihat jika pasukan itu mampu untuk terus mengulangi kejayaan pada tahun lalu.