Johor Darul Ta’zim (JDT) telah pun mengesahkan diri mereka untuk layak ke pusingan separuh akhir Piala FA 2023, selepas tampil cemerlang menewaskan Penang di laman sendiri.
Beraksi di gelanggang sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI), beberapa rombakan dibuat oleh pengendali JDT iaitu Esteban Solari dan ianya tidak menjadi masalah besar untuk mereka mengekalkan konsistensi sehingga tamat perlawanan.
Piala FA: JDT Mudah Atasi Penang Untuk Mara Ke Separuh Akhirhttps://t.co/8bXPYvEIPQ
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 28, 2023
Kemenangan 5-0 dilakar JDT untuk mengatasi Penang menerusi jaringan sendiri pemain tengah pelawat, Ousmane Fane, Jordi Amat, Arif Aiman Hanapi, Corbin Ong, serta penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad.
Pada aksi seterusnya, JDT bakal membuat perhitungan bersama Selangor yang turut cemerlang mengetepikan Negeri Sembilan sebelum itu dengan keputusan penuh 3-1 di Paroi.
Mengulas pada aksi separuh akhir tersebut, Solari enggan memikirkan lagi mengenai pertemuan mereka bersama Selangor yang ketika ini berada dalam momentum tersendiri.
Sebaliknya, pengendali berpengalaman itu mahu memfokuskan aksi seterusnya dalam saingan Liga Super untuk sekali lagi bertemu Penang di gelanggang lawan sebagai pasukan pelawat.
“Biar kami lawan Penang sekali lagi dan saya tidak mahu memikirkan Selangor kerana belum tiba masanya lagi dan kami mahu fokus untuk mengakhiri pusingan pertama dengan kemenangan walaupun ia tampak mencabar tatkala beraksi di tempat lawan,” kata Solari menerusi Berita Harian.
Pada masa sama, Solari jelas gembira dengan aksi ditampilkan oleh para pemain kendaliannya yang berjaya menjalankan tugas dengan sangat cemerlang untuk mengatasi cabaran Penang.
Ini kerana, beliau menggunakan lebih ramai pemain simpanan seperti Farizal Marlias, Shane Lowry, Diogo Luis Santo, serta Corbin Ong yang dianggap mempamerkan prestasi terbaik serta meraih minit permainan.
Malah, kelibat penyerang berbisa Syafiq Ahmad juga antara wajar diberikan pujian selepas pemain tersebut masih mengekalkan ketajaman beliau di hadapan gol untuk meledak jaringan terakhir buat JDT.
Jelas Solari, setiap pemilihan pemain dibuat berdasarkan kesungguhan dipamerkan mereka sendiri ketika sesi latihan dan ianya dibalas dengan sangat baik menerusi persembahan berkualiti pada hari perlawanan.
HIGHLIGHTS: JOHOR DARUL TA’ZIM 5-0 PENANG l PIALA FA 2023#PialaFA2023 #JDTvPEN#WhatCanYouDo#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/t0iA1xl6Pn
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) May 29, 2023
“Satu kepuasan bagi saya apabila apa yang mereka praktikkan dalam latihan diterjemahkan dalam perlawanan sebenar dengan mempamerkan kualiti yang baik.
“Apapun aksi babak pertama agak sukar terutama bola umpanan terakhir agak kurang berkesan tapi itu masalah kecil.
“Mungkin pemain agak cemas apabila beraksi dalam perlawanan kalah mati tapi apabila mereka mula bermain secara tenang dengan membuka permainan lebih luas di posisi sayap kiri dan kanan maka mudah untuk mendominasi bahagian tengah.
“Pada babak kedua, rentak permainan tampak berbeza dan mula berdepan kesukaran apabila pasukan lawan mula memberi tekanan, namun kami mampu keluar daripada situasi itu dan mula mengawal kembali permainan untuk kembali melakukan serangan dan berjaya menjaringkan tiga gol,” katanya.