Juara 2 kali Piala FA, Pahang akan berhadapan dengan juara 4 kali Piala FA, pasukan Kedah dalam pusingan ke-3 Piala FA hari ini.
Apabila melihat jadual cabutan menemukan 2 finalis musim lalu ini, terus kami angkat perlawanan ini sebagai perlawanan tumpuan untuk pusingan kali ini.
Jika di Eropah mereka akan gelar ini sebagai ‘main event’ dalam kalendar sukan mereka.
Ini adalah 5 perkara daripada Pahang vs Kedah pada malam ini.
1. Perseteruan
Pahang dan Kedah memiliki perseteruan yang mereka yang tersendiri. Namun ianya lebih kepada perseteruan kesukanan.
Pada era awal 90-an, 2 pasukan ini melonjak menjadi antara kuasa besar dalam bola sepak Malaysia pada era semi-pro.
Pahang menang final Piala Malaysia 1992 ke atas pasukan Kedah. Selepas itu, Kedah membalas dengan kemenangan di final Piala FA pada musim lalu.
Selepas itu, 2 pasukan ini terus menjadi nama besar dalam bola sepak Malaysia walaupun apa sahaja status mereka, tak kira mereka pasukan divisyen utama ataupun divisyen kedua.
2 pasukan ini antara pasukan yang memiliki jumlah penyokong fanatik yang ramai di dalam negara kita.
2. Ulangan final 2017
Musim lalu, pasukan Kedah berjaya menundukkan pasukan Pahang di final Piala FA 2017. Musim lalu dianggap sebagai musim ‘kelahiran semula’ Pahang selpeas musim penuh dugaan pada 2016.
Untuk melihat 2 finalis bertemu pada pusingan ke-3, ianya memang sesuatu yang menarik.
3. Serangan dan pertahanan
Pahang dilihat lebih stabil dalam aspek ini. Manakala pasukan Kedah, menyerang bukan masalah mereka, tetapi bertahan adalah perkara yang kerapkali membuatkan mereka mencipta keputusan di luar jangkaan (upset).
Contoh terdekat pastinya perlawanan menentang Kuala Lumpur sebelum ini.
Kedua-dua pasukan sudah menjaringkan 10 gol dalam Liga Super setakat ini. Ianya meletakkan 2 pasukan ini sebagai pasukan paling tajam di depan gol untuk MSL 2018 setakat ini.
Dan rekod bolos pula, Pahang hanya 2, berkongsi dengan JDT untuk rekod pertahan paling sedikit bolos setakat ini.
Manakala Kedah pula 12 bolos. Terburuk dalam Liga Super setakat ini. Kami yakin selepas perlawanan menentang KLFA tempoh hari, aspek peratahanan adalah tumpuan utama mereka di pusat latihan.
4. Tekanan
Setiap perlawanan besar pastinya ada tekanan. Dan kami merasakan Kedah lebih tertekan dalam perlawanan ini. Banyak perkara yang Ramon Marcote mahu buktikan dalam perlawanan ini.
Pahang akan bermain di belakang ribuan penyokong mereka. Dengan mood dalam kem Pahang adalah lebih baik.
Mampukah Kedah mengatasi tekanan itu dan menyingkirkan pasukan Pahang malam ini?
5. Prestasi
Dalam mana-mana pertandingan piala (cup competitions), prestasi semasa bukannya ukuran terbaik. Ini adalah urusan 90 minit dalam setiap perlawanan.
Jadi, perlawanan malam ini akan menguji pasukan mana yang lebih berkeinginan untuk menang berbanding dengan segalanya.
Apa yang pasti Dollah Salleh memiliki pengalaman yang sangat banyak dalam perlawanan seperti ini.
Sebelum wisel
Ini adalah pertemuan yang besar melibatkan 2 pasukan besar dalam Liga Malaysia. Sukar untuk meletakkan pasukan mana sebagai pilihan.
Pasukan mana akan mara ke pusingan seterusnya?