Terengganu selayaknya meraikan kejayaan diri mereka melangkah ke final saingan Piala FA 2022 setelah kali terakhir mereka beraksi di pusingan tersebut pada tahun 2011 lalu.
Kejayaan menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) setelah sebelum itu terikat 1-1 pada masa sebenar perlawanan itu berjaya memberi kegembiraan buat para penyokong.
Jumpa anda di PENTAS AKHIR PIALA FA 2022! 🏴🏳️#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/dMNjOv2pSh
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) August 6, 2022
Pengendali Terengganu, Nafuzi Zain antara yang sangat teruja setelah skuad kendaliannya berjaya melangkah ke final di hadapan ribuan para penyokong sendiri semalam.
Menurut Nafuzi, beliau jelas merasa sangat bersyukur dengan keputusan tersebut serta mengucapkan terima kasih kepada para pemain setelah aksi yang dipamerkan mereka jelas sangat berkualiti tinggi dan memastikan Terengganu melangkah ke final.
Jelas beliau, para pemain berjaya membuktikan sesuatu yang positif di atas padang serta memainkan peranan tersendiri dengan baik meskipun mendapat tekanan daripada 30,000 penyokong di stadium.
“Daripada babak pertama sehingga masa tambahan, satu sahaja saya ingatkan pemain supaya yakin dan percaya bahawa kita boleh capai kejayaan dan tiada yang mustahil.
“Secara keseluruhan, semua pemain memberi sumbangan yang bagus. Ia bukan tugas mudah kerana mereka (pemain) perlu mempunyai kekuatan fizikal serta mental yang kuat,” katanya selepas perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menerusi Bernama.
Untuk rekod, kali terakhir Terengganu menjulang Piala FA adalah pada tahun 2011 setelah mereka menumpaskan Kelantan dengan keputusan 2-1 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu.
Pada masa sama, Nafuzi juga jelas merasa teruja apabila skuad kendalian beliau bakal bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk perlawanan akhir ini.
🏴🏳️PERLAWANAN #LIGASUPERMALAYSIA2022 SETERUSNYA🏴🏳️
Terengganu FC vs Johor Darul Ta'zim FC
🗓 10 Ogos 2022
🕘9.00 Malam
🏟 Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin #TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/84QlPu0zuj— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) August 7, 2022
“Sebelum ini kami hanya bertemu di pusingan separuh akhir, suku akhir. Ia satu tekanan kerana skuad Penyu selalu terkandas di situ.
“Saya sendiri secara peribadi memang berharap untuk bertemu JDT di pentas akhir dan alhamdulillah Allah dah makbulkan permintaan,” katanya yang turut mendedikasikan kejayaan manis tersebut kepada penyokong bola Terengganu.
Sementara itu, Michael Feichtenbeiner selaku pengendali Selangor jelas mengakui kekalahan tersebut sambil terus memuji aksi yang dipamerkan para pemain apabila beliau menyifatkan ia sebagai persembahan bertenaga.