Kedah Darul Aman (Kedah) bakal berdepan tugas getir hari ini, selepas pasukan tersebut bakal membuat perhitungan dalam aksi pusingan pertama Piala FA bertemu Penang.
Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman (SDA) itu menyaksikan Kedah perlu mencipta kemenangan jika mereka ingin layak ke pusingan seterusnya.
Persiapan terakhir Sang Kenari menjelang aksi kalah mati malam esok.
Ayuh ke Stadium Darul Aman!
🏆Piala FA Pusingan 1
KDA FC vs PENANG FC
8 Mac 2023, Rabu, 9.00 malam
Stadium Darul AmanLIVE di Astro Arena dan Astro Go pic.twitter.com/y2EKKmRMGG
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) March 7, 2023
Walaupun masih segar dengan kekalahan lalu dalam aksi Liga Super ketika bertemu PDRM, pengendali Kedah iaitu Nafuzi Zain menggesa agar para pemain kembali bangkit pada aksi tersebut di gelanggang sendiri.
Jelas Nafuzi, kekalahan perlawanan lalu jelas memberi suatu pengajaran besar buat anak-anak buahnya supaya kembali mencipta kebangkitan di hadapan para penyokong Sang Kenari.
“Untuk perlawanan menentang Penang FC dalam saingan Piala FA, kita perlukan kemenangan bagi memastikan Sang Kenari layak ke peringkat seterusnya.
“Saya begitu berharap pemain dapat bangkit kembali dengan aksi lebih bersemangat dan lebih baik supaya tidak mengecewakan penyokong yang akan hadir sekali lagi memberi sokongan padu di laman sendiri,” katanya menerusi Berita Harian.
Pada aksi lalu, kejutan besar berlaku di Alor Setar selepas Kedah tewas mengejut di tangan pasukan bukan pilihan iaitu PDRM dengan keputusan penuh 0-1 hasil jaringan tunggal Bruno Suzuki.
NEXT MATCH, PIALA FA!
🏆Piala FA Pusingan 1
KDA FC vs PENANG FC
8 Mac 2023, Rabu, 9.00 malam
Stadium Darul AmanLIVE di Astro Arena dan Astro Go pic.twitter.com/RysXbemlJI
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) March 6, 2023
Menerusi kekalahan tersebut, Nafuzi menganggap ianya sebagai suatu panduan terbaik buat beliau untuk kembali mengatur strategi ampuh hasil kelemahan yang telah dikesan pada aksi lalu.
“Memang pemain kecewa selepas tewas pada aksi perlawanan lalu itu. Namun saya percaya mereka memiliki kesedaran dan sudah mengambil setiap apa yang berlaku itu sebagai pengajaran penting untuk kembali bangkit dalam membina kekuatan baharu.
“Saya akan kembali untuk berada di bangku jurulatih pada perlawanan Piala FA ini kerana ia adalah saingan berbeza berbanding Liga Super,” katanya.
Pada masa sama, Nafuzi juga tidak memandang remeh cabaran Penang selepas melihat pasukan tersebut juga memiliki para pemain berpengalaman untuk dibawa turun berdepan mereka.
Bekas pengendali Terengganu itu juga menasihatkan supaya para pemain tidak lalai atau leka supaya pengalaman pahit perlawanan lalu tidak lagi berulang.
Kali terakhir Kedah muncul juara dalam saingan Piala FA ialah pada tahun 2019 ketika mereka menewaskan Perak menerusi keputusan penuh 1-0 hasil jaringan tunggal Fadzrul Danel.