Kekalahan 1-3 kepada Pahang pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur kelmarin bukanlah penamat bagi pasukan Perak kerana mereka tekad untuk melakukan kebangkitan pada perlawanan separuh akhir kedua nanti.
Pengendali pasukan itu, Mehmet Durakovic mengakui kelebihan satu gol di tempat lawan memberi semangat tambahan kepada anak buahnya untuk memburu dua lagi gol bagi mengesahkan tiket ke perlawanan akhir musim ini.
“Oleh itu, saya mahu pemain kekal positif untuk kembali bangkit dan mempamerkan prestasi lebih baik apabila beraksi di Ipoh nanti.
“Biarpun tewas 1-3 di Kuantan, kami berjaya menjaringkan satu gol di tempat lawan untuk memberi peluang dalam baki 90 minit pada separuh akhir kedua.
“Saya harap pemain dapat meningkatkan lagi corak permainan seperti yang dipersembahkan pada babak kedua apabila menjaya menjaringkan satu gol,” katanya dalam Harian Metro.
Pada tahun 2017, Perak pernah melakukan aksi ‘comeback’ di Ipoh apabila menewaskan Pahang, 4-0 pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia. Ketika itu, mereka juga tewas 1-3 di Kuantan pada perlawanan suku akhir pertama.
Tidak mustahil skrip yang sama bakal berulang pada aksi separuh akhir kedua minggu depan walaupun menggunakan barisan pemain yang berbeza.
Mengulas mengenai prestasi Perak di Kuantan, Durakovic tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana mengetahui pemainnya sudah melakukan yang terbaik pada perlawanan tersebut.
“Saya tidak menyalahkan seorang pemain sebaliknya sebagai satu pasukan, apabila menang kami meraikan bersama manakala mereka saling bantu untuk memperbaiki kelemahan apabila tewas.
“Pemain sudah memberikan komitmen 100 peratus sepanjang perlawanan terutama pada babak kedua kerana turut berpeluang untuk menambah jaringan,” katanya.
Skuad Perak kini berada di Jengka untuk pertembungan Liga Super menentang FELDA United pada hari esok.