Piala FA Malaysia 2017 pusingan 3 menyaksikan kebanyakan pasukan pilihan dari Liga Super telah mula memecut gear dalam misi untuk menjadi juara.
4 pasukan Liga Super dan 4 pasukan Liga Perdana berjaya mara ke peringkat suku akhir.
JDT menang besar
Aksi di Larkin menyaksikan JDT bertemu pasukan yang sedang beraksi baik di Liga Perdana – UiTM FC.
JDT ternyata menunjukkan permainan berkualiti apabila berjaya menepikan cabaran pasukan pelawat dengan kemenangan 4-0.
Gonzalo Cabrera menjaringkan 2 gol pada minit ke-19 dan minit ke-53.
Ahmad Hazwan Bakri dan juga Fahdli Shas juga menjaringkan gol selepas masing-masing meledak pada minit ke-21 dan minit ke-70.
2 pasukan yang sedang mengalami masalah prestasi di peringkat liga, Perlis dan Sarawak bertemu sesama sendiri dalam aksi yang dilangsungkan di Kangar.
Abdul Rahim dan Mark Hartmann berjaya menjaringkan gol untuk pasukan Sarawak sementara Kyu Bin Oh menjaringkan gol tunggal untuk pasukan tuan rumah.
Aksi 2 pasukan Terengganu di Kuala Terengganu menyaksikan T-Team dan juga Terengganu terpaksa bermain sehingga ke masa tambahan.
Perlawanan ini juga menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan 10 orang selepas seorang pemain T-Team dan juga Terengganu dibuang padang akibat kad merah.
Namun, jaringan Lutfulla Turaev berjaya memateri kemenangan apabila ledakan beliau pada masa tambahan membawa Terengganu ke suku akhir.
Aksi tunggal pada Jumaat menyaksikan PKNP FC menewaskan Kuantan FA 5-4 di Stadium Perak, Ipoh.
PKNP FC yang pada satu ketika mendahului 4-1 berjaya dikejar semula oleh Kuantan untuk keputusan 4-4 sebelum PKNP FC menjaringkan gol kemenangan di minit akhir permainan.
Anda boleh baca laporan penuh perlawanan PKNP FC-Kuantan FA di sini.
Sabah tatap!
Sabah turut layak ke suku akhir Piala FA Malaysia musim ini apabila berjaya menepikan cabaran daripada pasukan Liga FAM – MOF FC.
Rahman Shah meletakkan Sabah di hadapan pada awal permaianan sebelum Farizal Rozali dan Aikal Aiman meletakkan MOF FC 2-1 di hadapan.
Namun Sabah bangkit apabila berjaya Rahman menjaringkan gol kedua peribadi sebelum Sofiane Choubani dan Ummareng Bocok masing-masing menjaringkan 1 gol untuk melengkapkan kebangkitan mantap Sabah di Likas.
Satu lagi wakil Liga Perdana, Negeri Sembilan berjaya menumbangkan Pulau Pinang 4-1 di laman sendiri.
Perlawanan itu bagaimana pun dibawa ke masa tambahan selepas perlawanan terikat 1-1 hasil jaringan Marko Simic dan Reinaldo Lobo.
Namun di masa tambahan, Negeri Sembilan menunjukkan taring sebenar selepas Lee Tuck menjaringkan hatrik pada minit ke-107, minit ke-112 dan minit ke-120.
Pahang pula tiada masalah untuk layak ke suku akhir selepas menewaskan Melaka United 2-0 di Darul Makmur.
Gol dari Heo Jae-Won dan Azam Azih sudah cukup untuk membawa Tok Gajah ke suku akhir.
Aksi tumpuan pada saingan pusingan 3 ini adalah aksi diantara Perak dan juga Kedah di Ipoh.
Aksi yang diselangi dengan aksi ganas dan kontroversi menyaksikan Kedah layak ke pusingan seterusnya dengan jaringan 2-0.
Anda boleh baca laporan penuh perlawanan Perak-Kedah dengan ke pautan di sini.
Berikut keputusan penuh aksi pusingan 3 Piala FA Malaysia:
- JDT 4-0 UiTM FC
- Perlis 1-2 Sarawak
- T-Team 0-1 Terengganu
- PKNP FC 5-4 Kuantan FA
- Sabah 4-2 MOF FC
- Negeri Sembilan 4-1 Pulau Pinang
- Pahang 2-0 Melaka United
- Perak 0-2 Kedah
Baca juga: Michael Carrick, Maestro Tidak Didendang The Red Devils