Kelibat penyerang lincah Selangor musim ini, Alvin Fortes dianggap mampu untuk mengecewakan kem Terengganu pada saingan separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Selangor sebenarnya sedang menghadapi cabaran cukup getir untuk aksi kedua ini selepas mereka mencipta kekalahan pada perlawanan pertama lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), menerusi keputusan 2-3.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil tiada pilihan lain dengan hanya kemenangan mampu membantu mereka ke pentas akhir Piala FA musim ini.
Walaupun begitu, The Reds Giants juga perlu menaikkan kembali motivasi mereka apabila pasukan tersebut masih segar dengan keputusan seri baru-baru ini ketika menentang cabaran Sri Pahang.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Nidzam tampil serba tidak menjadi di setiap posisi dan hanya mampu terikat seri ketika lawan hanya beraksi dengan 10 pemain di babak kedua.
Keputusan itu menyaksikan kemarahan sekelompok besar penyokong Selangor di Temerloh telah tercetus kerana masing-masing tak berpuas hati dengan apa ditampilkan The Red Giants.
Untuk aksi ini, sudah tentu Nidzam enggan melihat Selangor terus dirundung malang serta tersekat di pusingan separuh akhir sahaja dengan perancangan baharu dibina untuk berdepan Terengganu.
Menyedari Sang Penyu selaku pasukan yang serba lengkap di segenap posisi, terutama membabitkan barisan pertahanan mereka pada saingan musim ini.
Maka, siri serangan Selangor pastinya sedang giat dipertingkatkan dengan Alvin Fortes antara tunjang utama pasukan tersebut untuk merobohkan benteng kebal Terengganu.
Musim ini sahaja menyaksikan Alvin tidak mengambil masa yang lama untuk terus memberikan impak besar buat siri serangan Selangor di posisi sayap menerusi ketajaman serta kelincahan.
Kualiti dipamerkan Alvin menyaksikan kini beliau sudah pun meledak tujuh gol bersama satu bantuan jaringan daripada sembilan penampilan domestik buat kelab tersebut.
Malah, Alvin turut menyumbang satu jaringan buat Selangor ketika mereka mencipta kekalahan 2-3 kepada Terengganu di pusingan separuh akhir pertama sebelum itu.
Momentum semasa bekas penyerang kebangsaan Cape Verde itu di hadapan gawang gol juga sangat baik apabila beliau masih segar akan jaringan ketujuh beliau beberapa hari lalu sewaktu terikat seri bersama Sri Pahang.
Sudah tentu barisan pertahanan Terengganu menyedari akan kualiti serta ketajaman dimiliki oleh pemain tonggak utama Selangor tersebut pada aksi malam ini.