Quantcast

BERITA

Piala FA: Kedah Enggan Fikirkan Tentang Imbuhan Lumayan

Setia­usaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris tidak mahu pemain skuad Helang Merah terlalu memikirkan tentang ganjaran yang sedang menanti sekiranya mereka berjaya mencapai sasaran mara ke perlawanan akhir dan membawa pulang trofi Piala FA 2019.

Katanya dalam Kosmo, pemain perlu membuktikan kemampuan mereka terlebih dahulu kerana FELDA United bukan lawan yang mudah.

“Kami di pihak pengurusan enggan terburu-buru memikirkan soal imbuhan, namun ia tetap menjadi satu perbinca­ngan sekiranya Kedah mara dan menang di pentas final. Tetapi, mara ke final sahaja tidak cukup, sebaliknya pemain perlu pastikan Piala FA menjadi milik Kedah dahulu, barulah imbuhan atau ganjaran diberikan.

“Apa pun, sekarang pemain perlu membuktikan kemampuan mereka di Jengka esok (malam ini) terlebih dahulu sebelum mara ke pentas final.

“Jika sasaran yang diletakkan pihak pengurusan KFA dapat dicapai dengan baik dan mampu menjulang trofi Piala FA, sudah tentu ganjaran atau imbuhan bakal diberikan kepada pemain sebagai tanda penghargaan atas usaha dan sumbangan mereka kepada Kedah,” katanya.

FOTO: Kedah FA

Asmirul juga berharap jentera serangan Kedah mampu berfungsi dengan baik selepas hanya menjaringkan satu gol ketika menentang lawan yang sama di separuh akhir pertama.

“Selepas aksi pertama, perbincangan bersama Aidil Sharin telah dilakukan terhadap bagaimana pasukan mahu melengkapkan pusingan separuh akhir de­ngan kemenangan di Jengka.

“Saya mahu melihat penyudah pasukan kali ini lebih baik kerana kita tahu Felda United tidak akan memberi laluan yang mudah buat kami di laman mereka.

“Berdasarkan aksi minggu lalu, saya yakin Kedah mampu menunjukkan ­prestasi yang lebih baik meskipun Felda United telah memberikan amaran awal buat kami di Alor Setar,” katanya.