Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan ramai untuk melayakkan diri mereka ke pentas akhir bagi saingan Piala FA musim 2024/2025, dengan pasukan tersebut cemerlang menyingkirkan Kedah Darul Aman (Kedah).
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor, tuan rumah berjaya mengatasi cabaran skuad kendalian Nafuzi Zain menerusi keputusan 3-0 atau secara agregat 5-1.
Awal permainan menyaksikan JDT terlebih dahulu memperoleh peluang menerusi satu hantaran lintang yang dibuat daripada sebelah kanan sebelum Osca Arribas gagal mengawal dan menyebabkan bola melambung tinggi.
Tuan rumah meneruskan asakan mereka secara bertali arus dengan kali ini giliran Heberty pula tampil menguji Kalamullah sebelum penjaga gol Harimau Malaya itu menyelamatkan keadaan.
Kedah pula masih lagi belum dapat menyesuaikan diri dalam permainan walaupun sudah mengharungi lima minit perlawanan dengan mereka lebih banyak bertahan menyerap asakan JDT.
Selepas 10 minit aksi berlangsung, JDT memperoleh sekurangnya tiga atau empat peluang di hadapan gol sebelum ianya digagalkan dengan sangat baik oleh barisan pertahanan serta penjaga gol Sang Kenari.
Kedah seolah buntu ketika mendapat peluang serangan dengan beberapa kesilapan sering berlaku sewaktu hantaran-hantaran ke hadapan cuba dibuat sesama rakan sepasukan.
Malah JDT juga dianggap kurang memberansangkan daripada segi kreativiti serangan dicipta mereka dengan kesilapan hantaran kerap dibuat sehingga bola dilihat lebih banyak berlegar di tengah padang.
Bersambung di separuh masa kedua, JDT mencipta satu perubahan dengan Romel Morales dikeluarkan sementara Afiq Fazail dibawa masuk untuk memperkukuhkan jentera tengah mereka.
JDT akhirnya berjaya memperoleh gol pertama perlawanan menerusi Feroz Baharudin pada minit ke-49 untuk menewaskan Kalamullah yang tampil sangat cemerlang sebelum itu.
Tersentak dengan gol tersebut, Nafuzi membuat empat perubahan pemain dengan Ebenezer Assifuah turut dibawa masuk untuk memperkukuhkan kembali pasukan itu.
Pertukaran tersebut dianggap membuahkan sedikit hasil dengan Kedah berjaya meningkatkan intensiti serangan menerusi kelincahan Assifuah serta Fayadh untuk mengkucar kacirkan pertahanan JDT.
Kedah akhirnya berjaya meledak gol sulung perlawanan sebelum ianya dibatalkan oleh pengadil bertugas kerana berada pada kedudukan ‘offside’.
JDT meneruskan malam gemilang mereka menerusi jaringan penyerang berbisa mereka iaitu Bergson yang mudah menewaskan Kalamullah pada minit ke-76.
Pada minit ke-82, JDT memastikan Kedah pulang dengan tangan kosong apabila Juan Muniz tampil dengan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk terus melebarkan keputusan semasa.
Malang terus menimpa Sang Kenari, apabila Kapten pelawat iaitu Sony Norde dilayangkan kad merah selepas ada kekasaran dibuat kepada pemain tuan rumah.
Keputusan perlawanan tamat dengan kemenangan berpihak buat JDT yang berjaya ke final Piala FA 2024/2025 untuk bertemu Selangor setelah menumbangkan Kedah menerusi keputusan agregat 5-1.
Kesebelasan Utama
Johor Darul Ta’zim (JDT): Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Penjaga Gol), Matthew Thomas Davies, Jordi Amat Maas (Kapten), Nathaniel Shio Hong Wan, Bergson Gustavo Silveira da Silva, Muhamad Feroz Baharudin, Romel Oswaldo Morales Ramirez, Juan Muniz Gallego, Oscar Pasero Arribas, Heberty Fernandes de Andrade, Arif Aiman Mohd Hanapi
Kedah Darul Aman: Kalamullah Al-Hafiz (Penjaga Gol), Habib Haroon H. Saeed, Sony Norde (Kapten), Milos Gordic, Muhammad Irfan Zakaria, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman, Jose Cleylton de Morais dos Santos, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Mohamad Hasbullah Abu Bakar, Mohd Faiz Mohd Nasir, Abdul Halim Saari