Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil menepati ramalan ramai di pentas akhir Piala FA musim 2024/2025 untuk meraih gelaran juara buat kali ketiga berturut-turut, apabila pasukan itu tampil menewaskan Selangor menerusi keputusan 6-1.
Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), jelas skuad kendalian Hector Bidoglio tampil begitu menyakinkan dalam perlawanan sejak wisel ditiupkan oleh pengadilnyang bertugas.
Awal permainan lagi menyaksikan situasi panas sudah berlaku menerusi asakan pantas daripada JDT untuk terus cuba mendapatkan jaringan awal perlawanan.
Malah sedikit pergaduhan turut berlaku membabitkan kedua pasukan sebelum ianya ditenangkan kembali oleh Nazmi Nasaruddin serta layangan kad kuning turut diberikan kepada Fazly Mazlan.
Selangor jelas berada bawah pada tahap sebenar pada lima minit awal permainan apabila JDT lebih mendominasi aksi menerusi siri serangan pantas untuk mengkucar kacirkan pertahanan lawan.
Selepas 10 minit aksi berlangsung, The Red Giants dilihat berjaya menyesuaikan diri dalam permainan walaupun secara keseluruhan jelas skuad kendalian Hector Bidoglio tampil lebih berbahaya.
Kedua pasukan tampil bersama intensiti permainan cukup tinggi apabila masing-masing saling berbalas serangan dalam usaha untuk mendapatkan jaringan sulung perlawanan.
JDT akhirnya berjaya meraih jaringan sulung menerusi Juan Muniz Gallego yang melepaskan satu rembatan jarak jauh untuk menewaskan Sam Somerville pada minit ke-25 sekali gus meletakkan Harimau Selatan terlebih dahulu di hadapan.
Tampil Arif Aiman pula untuk terus melebarkan penguasaan buat JDT dengan kali ini tandukan beliau berjaya menewaskan penjaga gol Selangor pada minit ke-42.
Bersambung di separuh masa kedua, Selangor meningkatkan intensiti serangan dalam usaha untuk cuba mendapatkan sekurangnya satu gol berhadapan JDT.
Selangor akhirnya kembali meledak gol sulung mereka pada minit ke-58 menerusi Alvin Fortes yang melepaskan rembatan deras untuk menewaskan Ahmad Syihan Hazmi buat kali pertama di pentas final.
Walaupun begitu, JDT terus memberi reaksi pantas menerusi gol ketiga mereka hasil jaringan bintang Brazil iaitu Bergson da Silva untuk menjarakkan kedudukan pada minit ke-62
Juan Muniz terus menghukum kealpaan Selangor pada minit ke-66 untuk mengesahkan kejuaraan kepada Harimau Selatan dengan jaringan cukup berkelas tinggi.
Pada minit ke-51, tampil giliran Heberty pula untuk meledak gol kelima buat JDT sekali gus memberi tamparan cukup besar buat Selangor di pentas final.
Juan Muniz tampil dengan ledakan hatrik sebelum wisel penamat dibunyikan menerusi situasi sepakan percuma pada minit ke-89 untuk menghukum penjaga gol muda Selangor di pentas akhir.
Keputusan kekal tamat dengan kemenangan akhirnya berpihak buat JDT untuk terus mempertahankan kejuaraan mereka pada musim 2024/2025 dengan menewaskan Selangor hasil keputusan 6-1 di SNBJ.
Kesebelasan Utama:
Johor Darul Ta’zim (JDT): Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Penjaga Gol), Matthew Thomas Davies (Kapten), Mohd Afiq Fazail, Nathaniel Shio Hong Wan, Bergson Gustavo Silveira da Silva, Shane Thomas Lowry, Muhamad Feroz Baharudin, Juan Muniz Gallego, Oscar Pasero Arribas, Heberty Fernandes de Andrade, Arif Aiman Mohd Hanapi
Selangor: Samuel Jacob Somerville (Penjaga Gol), Nooa Hamzah Laine, Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh, Ronnie Allan Fernandez Saez, Alvin Mateus Fortes, Yohandry Jose Orozco Cujia, Muhammad Safuwan Baharudin (Kapten), Muhammad Fazly Mazlan, Alexander Agyarkwa Ameyaw, Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar