Hatrik sulung Fernando Forestieri telah membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) membenam cabaran kelab Budak Rumah Murah (BRM FC) dengan pesta gol 10-0 dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail.
Pengendali JDT, Benjamin Mora dilihat membuat rombakan besar dengan hanya mengekalkan Forestieri dalam kesebelasan utama pasukan yang telah membelasah Sarawak United dalam aksi Liga Super 2022 pada Rabu.
2022 FA CUP
Starting Line-up
JOHOR DARUL TA'ZIM vs BRM FC
Full list at https://t.co/oADHgUw5PR#JDTvBRM#PialaFA2022#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/cGfvJTFohj
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) March 13, 2022
Masih segar dengan kemenangan 6-0 ke atas Sarawak United, JDT membuka akaun jaringan seawal minit ke-2 apabila Forestieri membuat ‘backheel’ menarik untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Kamarul Effandi Abdul Rahim. Ia bermula dengan hantaran lintang rendah oleh Safawi Rasid dari sebelah kiri gawang gol BRM FC.
Minit ke-7, pemain yang kembali mendapat panggilan untuk bersama skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim menggandakan kedudukan dengan gol kedua buat tuan rumah selepas rembatan Safawi Rasid gagal ditepis dengan kemas oleh Kamarul Effandi menemui bekas kapten skuad kebangsaan itu di depan gawang gol.
JDT meneruskan rentak penguasaan perlawanan ke atas lawan. Gol ketiga dan ke-4 mereka hanya dihasilkan berselang lima minit. Safawi Rasid meledak gol ketiga pada minit ke-19 berpunca daripada sepakan percuma sebelum Forestieri mencipta jaringan seterusnya pada minit ke-24 hasil ‘cungkitan’ bersahajanya ke gawang.
43' GOL | Fernando Forestieri melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti ini!@OfficialJohor 5-0 @official_brmfc #PialaFA2022 pic.twitter.com/LEU2APrnFz
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 13, 2022
Forestieri melengkapkan hatrik pada minit ke-42 selepas menyempurnakan penalti susulan kekasaran ke atas Bienvenido Maranon untuk memastikan JDT melangkah masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan 5-0.
Bermula daripada sepakan sudut Safiq Rahim, JDT memulakan babak kedua dengan jaringan seawal minit ke-56 selepas hantaran lambung ke dalam kotak penalti lawan berjaya menemui bek tengah Mauricio yang melepaskan rembatan rendah di depan gawang yang dikawal Kamarul Effandi untuk JDT bertambah selesa.
JDT tidak mengendurkan asakan ke kubu pelawat. Minit ke-70, tindakan Mohamad Haiqal Afendi mengasari pemain gantian, Mohamadou Sumareh di dalam kotak penalti akhirnya mengundang padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang kemudian telah disempurnakan oleh pemain import, Moussa Sidibe.
82' GOL | Pemain gantian muda, Daryl Sham menjaringkan gol kelapan JDT pada debut!@OfficialJohor 8-0 @official_brmfc #PialaFA2022 pic.twitter.com/Ei9CVmJ5My
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 13, 2022
Pemain muda, Daryl Sham George berjaya mendapat ‘debut’ bermakna apabila masuk sebagai pemain gantian dan meledak gol ke-8 buat JDT pada minit ke-82 selepas merampas ‘clearance’ kurang kemas benteng lawan.
Minit ke-89, larian membelah benteng lawan oleh Sumareh berjaya mencipta jaringan ke-9 JDT sebelum Danial Amier Norhisham melengkapkan malam gemilang tuan rumah di penghujung aksi dengan jaringan ke-10.
BRM berpeluang untuk mencipta satu jaringan sekurang-kurangnya menerusi sepakan penalti yang diraih, namun sepakan yang diambil Fitri Omar berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang JDT, Haziq Nadzli untuk memberikan mereka kemenangan 10-0 ke atas wakil Liga M3, BRM dalam aksi yang berlangsung dalam hujan.