Kapten Selangor iaitu Safuwan Baharudin berjaya memastikan The Red Giants untuk mara ke final Piala FA 2024/2025 selepas jaringan hatriknya memadam kelebihan dibawa oleh pasukan lawan, Terengganu.
Pada aksi tersebut, Safuwan mencipta sensasi tersendiri menerusi ledakan hatrik serta ledakan tunggal oleh Reziq Banihani selain kehadiran kembali Faisal Halim yang berada di bangku simpanan.
Sejak awal perlawanan bermula lagi menyaksikan Selangor tampil begitu garang dengan banyak siri serangan pantas dicipta dalam usaha untuk mendapatkan gol pertama permainan.
Selangor berjaya meledak gol pertama perlawanan melalui situasi sepakan sudut pertama pada awal perlawanan untuk mengejutkan kem pelawat sekali gus memberi kegembiraan buat penyokong tuan rumah menerusi tandukan kemas Safuwan Baharudin.
Tatkala Terengganu cuba untuk kembali bangkit, Safuwan sekali lagi mengecewakan penyokong Sang Penyu menerusi jaringan kedua buat The Red Giants pada minit kelima juga menerusi situasi serupa gol pertama sebelum itu.
Jelas skuad kendalian Tomislav Steinbruckner seolah kehilangan punca untuk menyerap tekanan tinggi dibuat oleh Selangor yang begitu rakus menyerang di pelbagai sudut.
Sesekali, Terengganu turut hadir memberi ancaman menerusi kelincahan Akhyar Rashid serta percubaan menarik daripada Safawi Rasid sebelum ia gagal untuk diterjemahkan ke arah bentuk jaringan.
Pada minit ke-11, Safawi hampir mendapatkan gol sulung buat Terengganu di Stadium MBPJ menerusi satu hantaran cantik daripada Manuel Ott, sebelum ia dapat diselamatkan penjaga gol tuan rumah.
Selepas 16 minit aksi berlangsung, kelibat penyerang utama Terengganu iaitu Ismaheel Akinade jelas masih belum dirasai untuk memberi impak positif buat siri serangan Sang Penyu.
Akinade akhirnya berjaya membuka peluang kembali buat Terengganu apabila beliau tampil selaku penjaring sulung buat pasukan tersebut pada minit ke-21, setelah rembatan beliau berjaya mengelirukan Sam Somerville.
Memasuki penghujung separuh masa pertama, intensiti permainan membabitkan kedua pasukan ini sedikit perlahan dengan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang.
Bersambung di separuh masa kedua, tuan rumah sekali lagi hampir mendapatkan jaringan ketiga mereka menerusi Yohandry Orozco, sebelum percubaan tersebut diselamatkan Syed Nasrulhaq pada minit ke-52.
Safuwan melengkapkan hatrik beliau pada minit ke-53 menerusi satu percubaan cantik yang jelas gagal untuk ditangani dengan baik oleh pertahanan lawan untuk mengawal pemain tersebut.
Pada minit ke-57, giliran Steenvoorden pula dilayangkan kad kuning pertama perlawanan apabila pertahanan Terengganu itu mengasari Ronie Fernandez dari luar kotak penalti.
Reziq Banihani menamatkan malam gemilang buat Selangor menerusi jaringan terakhir perlawanan di penghujung separuh masa kedua sekali gus menyaksikan The Red Giants mara ke final.
Keputusan perlawanan kekal tamat dengan Selangor meraih kemenangan 6-4 secara agregat dan menjadi pasukan terawal mengesahkan diri mereka ke pentas akhir musim ini.
Kesebelasan utama
Selangor: Samuel Jacob Somerville (Penjaga gol), Quentin Cheng Jiun Ho, Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh, Ronnie Alan Fernandez Saez, Alvin Mateus Fortes, Yohandry Jose Orozco Cujia, Muhammad Safuwan Baharudin (Kapten), Muhammad Fazly Mazlan, Alexander Agyarkwa Ameyaw, Muhamad Syahir Bashah, Harith Haiqal Adam Afkar
Terengganu: Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin (Penjaga Gol), Matthew Rudolf Maria Steenvoorden, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Manuel Gelito Ott, Ismaheel Akinade, Nurillo Tukhtasinov, Muhammad Safawi Rasid (Kapten), Muhammad Azam Azmi Murad, Muhammad Safwan Mazlan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Marin Pilj