Quantcast

BERITA

Piala FA: Hampir Dikejutkan Selangor United, Aidil Sharin Mahu Pemain Kedah ‘Belajar’

Kedah berjaya mengelakkan malam penuh debaran dalam aksi menentang Selangor United. Skuad Selangor United ternyata tampil dengan aksi bertenaga.

Mereka mendahului 2 gol. Namun Kedah mencipta kebangkitan 2 gol pada separuh masa kedua. Selangor United mempersia-siakan peluang untuk mendapat gol ke-3 apabila sepakan penalti Thivagar Ragendra terkena palang.

Pada masa tambahan, minit ke-111, Fernando Rodriguez menjaringkan gol kemenangan untuk Kedah.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin menganggap ini perlawanan yang sukar. Beliau berharap para pemainnya belajar daripadanya. Aidil juga menjelaskan beliau terpaksa melakukan pertukaran taktikal termasuk posisi pemain kerana mahukan variasi di dalam permainan.

Aidil berkata: “Kita harus belajar daripada perlawanan ini. Saya sentiasa berkata bahawa tidak pernah mudah untuk berhadapan dengan pasukan – terutamanya daripada liga lebih rendah.”

Aidil menyatakan pasukan beliau hanya ada 2 pegawai yang membantu pemain untuk mengembalikan kecergasan fizikal. Jadi beliau terpaksa melakukan rotasi pada skuad.

“Ya, kami melakukan 5 pertukaran hari ini, saya bertanggungjawab di atas perkara itu. Ini kerana sebelum ini kita bermain dalam intensiti tinggi berhadapan dengan JDT. Dan 2 hari selepas ini, pada Sabtu ada perlawanan lagi. 3 perlawanan dalam seminggu, sangat sukar untuk.”

Aidil Sharin kagum dengan kualiti yang dipamerkan oleh Selangor United.

“Secara keseluruhannya, saya perlu mengucapkan tahniah kepada Selangor United. Para pemain mereka datang ke tempat kami dan memberikan kami detik-detik yang sukar – dan mereka bermain sangat baik.”

“Bagi kami pula, kami harus lupakan perlawanan ini. Kami ada perlawanan penting menentang KL selepas ini. Salah satu lagi pasukan yang kuat untuk ditentang di tempat lawan. Selepas ini, tiada perkara yang mudah untuk kami.”

“Saya mahu menyatakan penghargaan kepada semangat dan kecergasan para pemain saya. Mereka bangkit – bukan mudah untuk bangkit daripada ketinggalan 2-0, ditambah dengan aksi sehingga ke masa tambahan.”

“Ianya sukar, kerana kami baru lepas bermain perlawanan intensiti tinggi menentang JDT sebelum ini. Saya sangat berpuas hati dengan usaha mereka.”

“Bahkan pemain seperti Baddrol, cedera pada minit akhir. Beliau tetap mahu masuk bermain – berjuang untuk pasukan.”

“Setiap pemain termasuk pemain bintang akan melakukan kesilapan. Namun pada rehat separuh masa, saya cabar para pemain saya;  [pada separuh masa pertama] ini bukan Kedah yang kita nampak.”

“Saya mahukan para pemain menunjukkan lebih karakter, keinginan dan komitmen di dalam padang.”

“Alhamdulillah, para pemain, bukan seorang tetapi semua pemain bangkit dan menunjukkan karakter mereka. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dalam perlawanan yang akan datang.”

“Kita harus belajar daripada perlawanan hari ini. Jangan ulangi kesilapan yang sama kerana pasukan lain akan belajar [mengkaji] apa kita punya kelemaha.”

“Ya, selepas 2-0 baru kita nampak Kedah bermain sama seperti sebelum ini. Untuk bangkit daripada kedudukan ketinggalan 2 gol bukannya mudah. Pasukan lawan kami pula memberikan kami kesukaran, dan mereka pun mahu menang.”

“Mereka menekan kami dan melakukan beberapa serangan balas.”

Aidil Sharin menyatakan, beliau akan melakukan rombakan pasukan dan taktikal ketika menentang Kuala Lumpur pada hujung minggu ini.

“Saya tidak akan menggunakan pasukan dan taktikal yang sama. Saya tidak mahu orang tahu Zaquan sentiasa di situ, Shakir sentiasa di situ. Itu terlalu ‘predictable’. Kita akan membuat beberapa perubahan kerana kita akan menentang Kuala Lumpur – pasukan yang masih belum menang [dalam liga] setakat ini.”

Aidil Sharin gembira Fernando Rodriguez yang terus menemui sentuhan gol. Jaringan kemenangan beliau telah membantu Kedah mara.

“Saya gembira dengan Nando. Itulah Nando yang kita kenali. Liga Filipina skor 40 gol, di Liga Indonesia skor 20 gol. Itulah sebab kenapa kita ‘sign’ beliau. Gembira melihat beliau berjaya dapat balik keyakinannya.”

“Biasanya, seorang penyerang memerlukan gol pertama dan mereka akan menjaringkan yang kedua [dan terus menjaringkan gol].”

“Paling penting secara berpasukan, kami harus terus mencipta peluang gol untuk beliau. Bukan untuk beliau sahaja, malah untuk pemain lain dalam pasukan.”

Aidil juga gembira kerana pemain simpanan beliau berjaya memberikan perbezaan ketika masuk ke dalam padang.

Aidil Sharin juga berjanji akan cuba memanfaatkan ‘squad depth’ dengan sebaik mungkin. Bagi beliau sangat penting memberikan pemain-pemain lain peluang beraksi untuk memastikan mereka boleh mendapat momentum apabila diperlukan.

“Saya akan cuba menggunakan seberapa banyak pemain yang boleh. Anda harus ingat, liga ni panjang. Kita tidak mahu, awal musim kita pakai pemain yang bagus, dan pada separuh kedua musim, ada isu kecederaan kita tidak dapat menurunkan pemain yang bersedia untuk menggalas tugasan.”

“Jadi, kita kena bijak dan cuba menggunakan semua pemain kalau boleh.”