Pertahanan Kuching City, Filemon Anyie menjadi antara paling bermotivasi kini untuk menghadapi aksi suku akhir pertama Piala FA musim 2024/2025 menentang Selangor pada Sabtu ini di Stadium Negeri.
Beraksi di laman sendiri, pastinya ia menjadi kelebihan buat Kuching City yang dijangka bakal mendapat sokongan padu daripada para penyokong untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
Apatah lagi Kuching City masih segar dengan kejayaan mereka untuk mengejutkan Kuala Lumpur City (KL City) pada pusingan awal menerusi kemenangan 3-2 bersama kualiti permainan sangat menyakinkan.
Tidak cukup itu, skuad kendalian Aidil Sharin meneruskan momentum positif mereka di persaingan Liga Super dengan kejayaan mengikat Terengganu menerusi keputusan 1-1 hasil jaringan lewat Yuki Tanigawa.
Tampil dengan momentum terbaik bersama persiapan rapi kini, Kuching City memiliki misi tersendiri pada aksi pertama Sabtu ini untuk menghadapi cabaran skuad kendalian Nidzam Jamil.
Menurut laporan dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), skuad kendalian Aidil Sharin mempunyai sasaran untuk mendapatkan bekalan gol yang selesa untuk dibawa selaku bekalan ke aksi seterusnya.
Malah Filemon Anyie sendiri mengakui beberapa perubahan bakal dibuat pasukan tersebut untuk memastikan tentangan sengit mampu diberikan kepada The Red Giants.
Walaupun begitu, Filemon mengakui aksi tersebut sudah tentu bukannya mudah untuk dihadapi mereka, namun beliau bersama rakan sepasukan lain sedia mencipta persiapan lebih baik.
“Semua sedia maklum, pasukan Selangor adalah salah sebuah pasukan yang bagus pada ketika ini” jelasnya menerusi MFL.
Pada masa sama, Filemon mengakui sedang berada dalam keadaan terbaik dan memiliki motivasi terbaik untuk menghadapi aksi seterusnya selepas tampil cemerlang pada perlawanan bertemu KL City menerusi jaringan kemenangan dilakar.
Malah, beliau juga memiliki misi untuk cuba mendapatkan gol ketika bertemu Selangor walaupun sedar dirinya beraksi di posisi pertahanan.
“Jaringan saya yang lalu membuatkan rakan sepasukan saya bersemangat untuk memperoleh kemenangan dan saya mahu menjaringkan gol lagi pada pertemuan dengan Selangor nanti,” katanya lagi.
Akhir sekali, Filemon turut menyeru supaya lebih ramai penyokong Kuching City mampu hadir ke stadium untuk memberi sokongan moral kepada mereka pada hari perlawanan.