Quantcast

BERITA

Piala FA: FELDA United Intai Peluang Beraksi Di Perlawanan Akhir

Skuad The Fighters sedia mengejutkan Helang Merah di Stadium Tun Abdul Razak malam ini untuk memburu tiket beraksi di perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019.

Pengendali pasukan itu, Nidzam Jamil meluahkan keyakinan terhadap kemampuan anak buahnya selepas tiga tonggak utama yang tidak beraksi pada separuh akhir pertama di Alor Setar kembali berlatih bersama FELDA United.

Tiga pemain berkenaan ialah penyerang skuad kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal, Thiago Aquino dan Masaki Watanabe.

“Mereka diharap dapat membantu memperkuatkan jentera serangan dan pertahanan untuk memastikan impian ke pentas final menjadi kenyataan.

“Apabila berada di sini (separuh akhir), perjuangan perlu diteruskan untuk membawa kejayaan buat pasukan selepas melalui saingan getir,” katanya dalam Arena Metro.

FOTO: FELDA United

Nidzam juga berharap penyokong FELDA United dapat memenuhi stadium untuk memberikan sokongan padu dan membangkitkan semangat pemainnya.

“Oleh itu, sokongan daripada peminat The Fighters sangat diperlukan bagi memberi semangat kepada pemain.

“Selain itu, kelebihan beraksi di laman sendiri diharap memihak kepada FELDA dan seterusnya mengulangi pencapaian ke pentas final pada 2014,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui anak buahnya tidak mempunyai masalah bermain di atas rumput tiruan di tempat lawan dan yakin pemainnya mampu mengikut taktikal yang dirancang. 

FOTO: FELDA United

“Kita berdepan cabaran beraksi di padang rumput tiruan namun itu bukan penghalang untuk merancang strategi terbaik dan melakukan persiapan tepat untuk perlawanan kali ini.”

“Sebahagian pemain senior Kedah juga sudah biasa beraksi di atas rumput tiruan dan saya yakin mereka dapat menyesuaikan keadaan ketika beraksi di sana.”

“Apa yang penting adalah kita mesti melakukan perancangan terbaik dan semestinya saya mahu semua pemain cepat menyesuaikan diri dengan suasana di tempat lawan.

“Sikap tidak menyerah kalah dalam setiap perlawanan yang kami lalui juga menjadi bekalan untuk perlawanan ini.

“Jadi banyak perkara yang boleh melonjakkan semangat ketika beraksi di tempat lawan dan antara yang penting adalah sorakan padu penyokong Kedah yang boleh membangkitkan lagi semangat untuk kami berjuang,” jelasnya dalam Arena Metro

Pasukan yang menang pada malam ini akan bertemu Perak di perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai depan.