Mulai diperkenal sejak 1990, pertandingan Piala FA Malaysia mempunyai nilai sejarah dan rekod unik yang turut mempunyai daya tarikan tersendiri. Sebagai contoh, Selangor FA adalah pasukan yang paling kerap bergelar juara setelah muncul pemenang di dalam lima edisi pertandingan.
Sime Darby merupakan pasukan badan koporat atau kelab pertama yang mara ke perlawanan akhir – sebelum JDT muncul sebagai pasukan pertama berstatus kelab bergelar juara selepas mengecewakan PKNS FC.
Musim lalu, pertandingan ini mencipta sejarah apabila 16 pasukan amatur dibenarkan mengambil bahagian. Pertandingan Piala FA Malaysia pada musim ini menjadi lebih unik selepas Malaysian Football League (MFL) menambah pembabitan pasukan amatur kepada 38 pasukan.
14 daripada pasukan tersebut adalah dari Liga M3. Manakala 24 pasukan lagi adalah dari kalangan pasukan-pasukan yang bertanding di Liga M4. Setiap pasukan ini perlu menempuh pusingan kelayakkan sebelum mara ke peringkat seterusnya.
Batu Dua FC
Salah sebuah pasukan yang turut bertanding di Piala FA pada musim ini ialah Batu Dua FC. Kelab yang berpengkalan di Kuala Selangor dan bertanding di Liga Selangor itu mencatat sejarah tersendiri dalam pertandingan ini apabila merekodkan kemenangan 17-1 ke atas Rawang FC. Perlawanan tersebut diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada malam tadi.
Piala FA Malaysia belum pernah merekodkan keputusan menang dengan jaringan mencecah dua angka sejak ia dipertandingan 29 tahun yang lalu. Musim lalu Melaka United membelasah Southern FC 7-0, manakala Kuantan FA turut merekodkan jumlah jaringan yang sama ketika membelasah Axis di pusingan kedua pertandingan.
‘Double Hatrik’ Manaf Mamat
Menariknya perlawanan yang menampilkan 18 gol tersebut turut menyaksikan bekas penyerang pasukan negara, Abdul Manaf Mamat menjadi wira Batu Dua FC, apabila pemain berusia 31 tahun itu meledak enam gol untuk satu lagi rekod pertandingan.
Selepas menyempurnakan penalti pada minit ke-4, pemain itu menambah lima lagi gol iaitu pada minit 9′, 45′, 57′, 67′ (penalti) dan minit ke-84′.
L’Imam Seydi dan Mohd Rizua Syafiq pula menjaringkan tiga gol, masing-masing pada minit ke-14, 36′ dan 65′ serta minit ke-52′, 70′, 81′.
Lima lagi gol Batu Dua FC dijaringkan oleh Mohd Fakhrurazi Musa pada minit ke-33, Badrul Hisyam Morris (42′), Mohd Faizal Abdul Aziz (44′), Mohd Izzad (76′) dan Azidan Sarudin pada minit ke-79 manakala gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Zhafiran Ahmad Zamri pada minit ke-30.
Rekod jaringan peribadi
Untuk rekod, jaringan terbanyak oleh seorang pemain di pertandingan Piala FA Malaysia dihasilkan oleh Matlan Marjan pada 1995, apabila Sabah membelasah Perlis 6-1. Matlan menghasilkan lima gol dalam perlawanan tersebut.
Pasukan dari Borneo itu turut muncul juara Piala FA pada musim tersebut selepas menewaskan Pahang 3-1 di perlawanan akhir.
Rekod oleh Matlan bagaimanapun disamakan oleh penyerang MOF FC, Fakhrullah Rosli pada tahun lalu ketika pasukan milik Kementerian Kewangan itu menewaskan CNA 6-0 di pusingan pertama pertandingan.
Dari Terengganu ke Batu Dua
Abdul Manaf Mamat pernah membantu Terengganu menjuarai Piala FA pada 2011, dan merupakan sebahagian daripada anggota skuad negara yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009.
Turut pernah beraksi bersama Kelantan dan Kuala Lumpur selepas meninggalkan Terengganu, beliau kemudiannya menyertai Marcerra United atau turut dikenali sebagai Kuantan FA pada musim lalu.
Dipalit kemelut kewangan dan tunggakan pembayaran gaji pemain, Manaf Mamat terpaksa meninggalkan pasukan tersebut sebelum menyertai Batu Dua FC pada musim ini.
Ia semestinya adalah satu rekod yang sukar digugat oleh mana-mana pasukan dan pemain selepas ini. Selamat maju jaya buat Batu Dua FC dan Manaf Mamat untuk cabaran di pusingan seterusnya. Inilah yang digelar sebagai magis Piala FA!