Piala FA: Dari Alor Setar Ke Jengka, Haziq Sedia Tumbangkan Kedah Untuk Felda

Ahmad Haziq ialah anak kelahiran Alor Setar dan berusia 26 tahun, dan prestasi beliau dilihat semakin hari semakin meningkat naik untuk mula mencipta nama dalam kancah saingan bola sepak di negara ini.

Beliau mampu bermain di mana-mana posisi pertahanan. Pertahanan tengah merupakan posisi utama beliau dan sekarang ini bermain sebagai pertahanan sisi kanan bagi pasukan Felda United.

Kerjaya awal

Kerjaya awal Haziq tidak selancar pemain-pemain lain yang bermula dari skuad Presiden sebelum diserap ke skuad utama untuk bermain.

Haziq mencari peluang di skuad Piala Presiden Perlis untuk mendapatkan peluang yang lebih baik dalam kerjaya bola sepaknya.

Kemudian beliau berhijrah ke Sime Darby FC pada tahun 2014-2015. Potensi Haziq telah berjaya dikesan pada ketika itu dan diserap ke skuad kebangsaan bagi kejohanan Universiti Dunia.

Kredit: JST

Pada tahun 2016, beliau telah menyertai UITM FC. Ketika bersama UITM, Haziq mendapat peluang sebaiknya untuk bermain bersama skuad utama pasukan UITM FC. Hasil daripada itu, beliau sekali lagi dipanggil untuk menyertai skuad Malaysia dalam kejohanan Universiti Dunia di Korea.

Setelah itu, Kuantan FA telah menawarkan kontrak kepada Ahmad Haziq dalam proses pembentukkan semula pasukan pada tahun 2018. Namun apa yang dijanjikan hanyalah “menanam tebu ditepi bibir”.

Pasukan Kuantan FA menghadapi krisis kewangan yang dasyat sehingga tidak mampu menggaji pemain mereka sebelum pasukan tersebut terpaksa dibubarkan pada pertengahan musim.

Di pertengahan musim 2018, Ahmad Haziq mendapat peluang yang sukar ditolak oleh beliau. Tawaran tersebut datang dari pasukan yang bersaing di Liga Super, Kelantan.

Nama Ahmad Haziq mula menjadi sebutan dikalangan peminat bola sepak Kelantan. Ini kerana keupayaan fizikal Haziq yang bermain sebagai pertahanan tengah menambat hati mereka.

Bagi peminat Kelantan, kehadiran Haziq telah memperbaiki kelemahan barisan pertahanan mereka pada tahun lepas.

Namun, Haziq tidak berjaya menyelamatkan pasukan Kelantan dari tersingkir dari saingan Liga Super 2018.

Tetapi apa yang membanggakan, beliau berjaya membantu Kelantan ke Suku Akhir Piala Malaysia 2018 dengan skuad yang serba kekurangan. Apa yang lebih manis, di peringkat kumpulan Haziq bersama Kelantan telah berjaya menyingkirkan pasukan kelahirannya iaitu Kedah.

Pada kempen Liga Super 2019, Ahmad Haziq telah dipanggil oleh Nidzam Jamil untuk memperkuatkan Felda United.

Setakat ini, beliau telah melakukan 12 penampilan selaku pemain utama bersama skuad Felda United dan berjaya membantu mereka mara ke Separuh Akhir Piala FA.

Kelebihan permainan

Antara kelebihan dalam permainan yang dimiliki oleh pemain ini ialah kelebihan fizikal yang dimilikinya. Berketinggian 180cm, membenarkan pemain ini sentiasa mempunyai kelebihan untuk memenangi perebutan bola di udara.

Selain daripada dikenali sebagai pemain yang memiliki bentesan yang keras, Haziq juga dilihat sentiasa mampu mengawal rapat pemain penyerang lawan sekiranya diarahkan untuk melakukan kawalan ‘man to man marking’ – selain daripada kebijaksanaan memmbaca perlawanan.

Sasaran di separuh akhir Piala FA 2019

Menjelang perlawanan separuh akhir Piala FA diantara Felda United dan Kedah pada malam ini, penulis berkesempatan untuk menemuramah Haziq.

Jika dahulu beliau bersama Kelantang meranapkan impian Kedah di Piala Malaysia, kini Haziq bersama Felda United, sekali lagi bersedia menjadi duri dalam daging untuk Kedah di saingan Piala FA.

Kredit: Kedah FA

“Menang menentang Kedah adalah hadiah yang paling besar bagi kami. Kami akan cuba sebaik mungkin untuk tidak bolos di Darul Aman.

“Mencapai keputusan seri 0-0 adalah amat memadai bagi kami membawa bekalan ke Jengka.

Ketika ditanya oleh penulis mengenai motivasi oleh beliau untuk membantu Felda menumbangkan pasukan negeri kelahiran sendiri, Haziq menyifatkan beliau harus bertindak sebagai pemain profesional terlebih dahulu.

“Sebagai pemain bola sepak, setiap perlawanan saya perlu mempunyai perasaan yang sama, iaitu keterujaan untuk menang.

“Tetapi menentang pasukan negeri kelahiran saya, sudah semestinya ia akan meningkatkan motivasi saya untuk membuktikan sesuatu kepada mereka.

Kredit: KLFA

“Kerana bagi saya, bermain di Darul aman adalah cita-cita semua anak Kedah,” jelas beliau penuh keazaman.

Bagaimanapun Haziq mengakui Kedah adalah pasukan yang lebih baik dan liat untuk ditumbangkan. Apatah lagi dengan kehadiran beberapa pemain import di bahagian serangan skuad Aidil Sharin.

“Semua orang sedia maklum, kami tidak mendapatkan keputusan yang baik ketika bertandang ke Darul Aman baru-baru ini. Mereka adalah pasukan yang sukar untuk bermain [dilawan]. Bagi saya pasukan Kedah mempunyai kualiti serangan yang baik.

“Persiapan kami kali ini adalah untuk mengekang sebaik baiknya barisan serangan pasukan Kedah. Dan mencapai sasaran kami membawa bekalan yang selesa ke Jengka nanti.”

kredit: KLFA

Haziq bagaimanapun berkata beliau tidak akan meraikan gol jika diturunkan pada malam ini dan berjaya menghasilkan jaringan sebagai tanda hormat kepada pasukan kelahirannya itu.

“Menjaringkan gol adalah perkara yang mengembirakan bagi pemain bola sepak.

“Tetapi sekiranya saya jaringkan gol menentang Kedah, mungkin saya akan cuba untuk mengawalnya dan tidak meraikannya.

“Saya amat menghormati Kedah sebagai negeri kelahiran saya,” ujar beliau ringkas.

Penutup

Menang kalah adat perlawanan. Namun kecekalan Haziq Ahmad dalam memburu impian untuk bergelar pemain profesional wajar dipuji.

Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Haziq dan Felda United untuk perlawanan separuh akhir Piala FA menentang kedah pada malam ini.

 

Nota editor: Artikel ini adalah kiriman Muhammad Fauzan bin Ahmad, sebelum disunting untuk disiarkan dengan kebenaran oleh Semuanya BOLA. Anda mempunyai artikel menarik untuk dikongsikan, hantarkan artikel anda tidak kurang dari 350 patah perkataan di dalam format Microsoft Word ke [email protected].

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN