Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson da Silva antara pemain paling mencuri tumpuan pada perlawanan hari ini membabitkan kelab tersebut menentang Kedah Darul Aman (Kedah) di saingan Piala FA 2024/2025 pusingan kedua separuh akhir.
Aksi pertama lalu menyaksikan ianya berpihak kepada JDT menerusi keputusan 2-1 ketika perlawanan berlangsung di Stadium Darul Aman (SDA), Alor Setar.
Pada aksi tersebut, JDT memperoleh dua gol menerusi Oscar Arribas serta bintang Harimau Malaya iaitu Romel Morales pada penghujung separuh masa kedua dan dianggap cukup dramatik.
Sementara skuad kendalian Nafuzi Zain pula hanya mendapat satu jaringan sahaja melalui pemain tengah import berpengaruh iaitu Habib Haroon juga di separuh masa kedua sebelum diatasi oleh Morales.
Melihat pada aksi tersebut, sudah pasti ramai terkejut dengan kualiti ditampilkan Kedah untuk memberi persaingan sengit buat JDT sepanjang aksi berlangsung apabila mereka tidak menjadi kelab belasahan.
Menyedari kualiti mampu ditampilkan Sang Kenari, sudah tentu beberapa perubahan bakal dibuat Hector Bidoglio untuk memastikan pasukan itu menutup terus peluang Kedah di pentas separuh akhir saingan tersebut.
Antara tonggak utama dijangka bakal menjadi pertaruhan penting Bidoglio pastinya terarah kepada Bergson yang meneruskan musim positif beliau dengan ketajaman di posisi hadapan.
Pemain dari Brazil ini meneruskan momentum positif beliau pada musim 2024/2025 selaku mesin gol buat JDT selepas dirinya sudah pun merekodkan tujuh gol bersama satu bantuan jaringan daripada lapan perlawanan dihadapi.
Jika diikutkan, Bergson sudah pun meledak gol pada aksi pertama separuh akhir lalu sewaktu menentang Kedah, sebelum jaringan tersebut dibatalkan kerana offside.
Malah, pemain tersebut memberi pengaruh cukup besar buat siri serangan JDT menerusi kelincahannya serta kekuatan fizikal dimiliki untuk mengatasi lawan.
Maka, tidak hairan jika Bergson sekali lagi akan diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama serta menjadi ancaman cukup besar buat Kedah sepanjang aksi berlangsung.
Rekod terbaharu pemain ini di SSI juga bukan calang-calang, apabila Bergson sudah pun meledak hatrik sulung musim 2024/2025 sewaktu JDT membenam cabaran Terengganu dalam saingan Liga Super.
Selain Bergson, beberapa lagi pemain lain seperti Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, serta Heberty Fernandes dianggap mampu untuk menamatkan terus impian Sang Kenari ke pentas akhir.