Malam ini tepat pada pukul 9 malam, dua pasukan liga super akan berentap merebut sebuah trofi yang menawarkan slot ke kelayakan AFC Champions League 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Walaupun Pahang digantung daripada memohon lesen AFC selama 2 tahun, perlawanan akhir kali ini medan untuk menebus kekecewaan mereka ketika tewas kepada Kedah di pentas yang sama di Stadium Shah Alam.
Pentas final Piala FA malam ini juga dilihat menjadi medan terbaik buat Selangor untuk mengumumkan ‘kelahiran’ semula The Red Giants sebagai gergasi bola sepak tempatan.
“Ini adalah pengalaman yang cukup besar buat saya sebagai jurulatih. Saya tidak mengharapkan kesempurnaan namun cukuplah dengan segala apa yang sudah dirancang dapat dipermudahkan dan dilaksanakan pemain.
“Tiada siapa yang menjangkakan Selangor akan mara sampai ke tahap ini dan tiada yang mengambil peduli tetapi berkat kesabaran, kesungguhan dan kerjasama semua pihak, akhirnya pasukan ini berjaya melangkah ke final.
“Apapun, saya mengharapkan pemain yang akan diamanahkan untuk memikul tanggungjawab esok dapat bermain sebaik mungkin,” kata pengendali Selangor Nazliazmi seperti dipetik dalam Berita Harian.
Tonggak pertahanan import Selangor, Willian Pacheco dijangka tidak dapat diturunkan susulan kecederaan yang dialami pada aksi separuh akhir kedua, minggu lalu.
“Sudah tentu ketiadaan Pacheco akan dirasai kerana segala ancaman bola tinggi dapat dipatahkan dengan kelebihan fizikalnya namun saya yakin terhadap kemampuan pemain yang akan menggantikan tempatnya nanti.
“Saya anggap ini bukan satu masalah yang besar kerana ini aksi final, jadi semangat pemain sememangnya ‘lain macam’ dan meskipun kami dibarisi ramai pemain muda, kemampuan mereka seharusnya tidak boleh dipandang rendah.
“Bukan menidakkan atau menafikan kemampuan pemain saya tetapi saya akui Selangor turun dengan status sebagai pasukan bukan pilihan,” katanya.
Pada saingan musim ini, skuad Tok Gajah sudah pun mengharungi dua ‘final’ ketika menyingkirkan juara bertahan, Kedah di pusingan ketiga, diikuti kemenangan ke atas pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh turut berharap ‘tragedi’ kad merah yang dihadapi pada final musim lalu tidak berulang.
“Tahun lalu adalah final yang cukup sukar apabila kami kehilangan seorang pemain (di pertengahan babak pertama). Pastinya esok kita mahukan sesuatu yang berbeza kerana tidak kira apa pun, kami tetap mahukan kemenangan.
“Sebab itu saya selalu minta kepada pemain, apabila kita mara ke final selepas menewaskan Kedah dan JDT, kita tidak boleh lepaskan peluang ini.
“Apabila kita sudah tumbangkan dua ‘gergasi’ dan kalau kita lepaskan peluang ini, pastinya ia satu yang merugikan pasukan,” katanya pada sidang media praperlawanan di SNBJ, hari ini.
Dollah turut mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu menumpukan kepada penyerang import Selangor, Rufino Segovia yang bakal tampil selaku penjaring terbanyak kejohanan itu.
“Saya tidak arahkan pemain tertentu untuk rantai Rufino, sebaliknya siapa yang paling dekat dengan Rufino, mereka perlu halang pergerakannya
“Kita juga perlu waspada dengan Amri Yahyah kerana dia selalu boleh buat magis. Walaupun dia sudah ‘berumur’ tetapi kami perlu kena berjaga-jaga,” katanya.