Aksi Piala FA bagi pusingan suku akhir pertama diteruskan pada hari ini dengan membabitkan aksi antara Kuching City menentang Selangor yang akan berlangsung di Stadium Negeri.
Beraksi di laman sendiri, ia bukan satu jaminan sebenarnya buat Kuching City kerana mereka akan berdepan salah satu kelab terbaik kini dalam negara.
Walaupun begitu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berpeluang untuk melakar kejutan pada aksi hari ini selepas prestasi semasa ditampilkan mereka juga bukan calang-calang.
Apatah lagi mereka juga telah berjaya melakar kejutan mengatasi pasukan pilihan seperti Kuala Lumpur City (KL City) serta mengikat Terengganu pada aksi lalu.
Tampil melayakkan diri ke pentas suku akhir Piala FA menerusi kemenangan tipis 3-2 mengatasi KL City, Aidil memastikan Kuching City turut tidak terlepas untuk memperoleh sekurangnya satu mata sewaktu mengikat 1-1 Terengganu.
Hadir bersama beberapa rombakan besar di setiap posisi, prestasi Kuching City jelas sangat berbeza jika dibandingkan pada saingan musim lalu.
Selain itu, Aidil juga memiliki kepakaran serta pengalaman cukup luas dalam saingn Liga Malaysia (Liga M) dan sudah pun dibuktikan bersama Kedah pada awal musim 2019 lalu menerusi kejayaan meraih Piala FA.
Manakala Selangor pula tampil bersama prestasi semasa cukup menyakinkan dengan siri kemenangan berturut-turut serta hanya dibolosi satu gol sahaja.
Keseimbangan dibawa oleh Nidzam Jamil merangkumi keseluruhan posisi walaupun pasukan itu terlepas peluang menggunakan beberapa pemain akibat kecederaan.
Pemain seperti Ronnie Fernandez, Nooa Laine, Sam Somerville, Harith Haiqal, dan beberapa lagi tonggak lain menjadi resepi utama buat siri kejayaan The Red Giants di pentas domestik.
Beraksi di gelanggang lawan, sudah tentu Nidzam menyedari ia bukan sesuatu mudah untuk dihadapi dan mereka perlu mengelak daripada membuat sebarang kesilapan tidak sepatutnya untuk diatasi lawan.
Bagi aksi hari ini, dijangka tiada sebarang perubahan besar bakal dibuat oleh Selangor dan Kuching City dalam kesebelasan utama melainkan hanya percaturan taktikal sahaja.
Pada pandangan anda, adakah Selangir akan menepati ramalan ramai untuk memenangi aksi hari ini atau Kuching City mampu mencipta kejutan?