PJ Rangers mungkin tidak sehebat pasukan gergasi seperti JDT, namun begitu, pengendali skuad Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak memandang mudah pada pasukan itu.
Skuad penyu itu yang kini menghuni di tangga kedua dalam kedudukan terkini Liga Super musim ini tetap berwaspada terhadap ancaman pasukan yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Hassan Sazali Waras malam ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Irfan berkata kepada Sinar Harian, dia mahu pemainnya mempamerkan aksi terbaik mereka sebagaimana ditunjukkan selepas mengharungi empat perlawanan dalam saingan Liga Super sebelum ini.
“Walaupun berdepan lawan daripada pasukan divisyen tiga yang beraksi dalam Liga FAM, jadi kita tidak boleh ambil mudah kerana mereka juga memiliki impian sama untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Maka pemain perlu sentiasa fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak sesekali melakukan kesilapan mudah atau cepat merasa selesa sebaliknya memberikan aksi terbaik sehingga ke wisel penamat,” katanya.
Pengendali yang berusia 65 tahun itu turut mengesahkan bakal menurunkan hampir keseluruhan pemain sama ketika mereka meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan, 2-1 Jumaat lalu.
Wan Amir Zafran akan digandingkan dengan pemain import dari Croatia, Igor Zonjic untuk mengawal benteng pertahanan pasukan itu.
” Saya yakin dia (Amirzafran) sudah bersedia untuk diturunkan dan hanya menunggu masa untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Bagaimanapun untuk pemain import saya masih mahu melihat prestasi mereka kerana dalam saingan Piala FA ini kita hanya boleh menurunkan empat pemain sahaja, jadi kita lihat nanti macam mana,” katanya.
PJ Rangers musim ini dibarisi oleh beberapa pemain yang berpengalaman dan pernah mewakili pasukan kebangsaan iaitu Ronny Harun, Thamil Arasu, Arif Anwar, Raphi Azizan dan penjaga gol pinjaman dari Kedah, Farhan Abu Bakar.