Biarpun pasukan Pulau Pinang menghuni kedudukan ke-7 dalam saingan Liga Premier musim ini selepas 5 perlawanan, ia langsung tidak mematahkan semangat pasukan itu untuk melakar kejutan apabila dijadualkan menentang Perak dalam saingan pusingan ketiga Piala FA esok.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Mohd Azizuddin Mohd Shariff berkata kepada Sinar Harian, mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk melakukan kejutan ke atas skuad kendalian Mehmet Durakovic itu setelah sekian lama tidak layak ke peringkat suku akhir.
“Kali terakhir Pulau Pinang melepasi peringkat suku akhir adalah pada 2015 dan bagi musim 2018 kami akan cuba untuk mengatasi Perak pada Sabtu ini.
“Momentum Perak juga sebenarnya berada pada tahap yang baik selepas menang pada perlawanan kelima Liga Super ke atas Selangor dengan keputusan 3-0 di Lumut,” katanya.
Menurutnya, momentum dan motivasi semua pemain Harimau Kumbang juga berada pada tahap baik selepas mengatasi JDT II 2-0 di Batu Kawan dalam saingan Liga Premier minggu lepas.
“Selepas beberapa perlawanan, persefahaman dan kecergasan pemain kami semakin baik malah Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan sudah mengenali kekuatan dan kelemahan setiap pemain.
“Kami gembira kehadiran pemain import berpengalaman seperti Ugo Ukah, Sannna Nyasi dan Ken Ilso Larsen memberi impak positif kepada Harimau Kumbang selain mewujudkan persaingan sihat bersama pemain tempatan untuk diturunkan pada senarai 18 pemain setiap perlawanan,” katanya.
Azizuddin turut gembira dengan kelibat beberapa pemain muda seperti Nurfais Johari yang semakin menyerlah malah tidak takut untuk bersaing dengan pemain lebih senior.
Katanya, sistem giliran pemain muda dengan pemain senior digunakan Zainal Abidin berjaya memberi lebih minit kepada pemain muda pada setiap perlawanan.