Kegagalan pemenang kasut emas musim 2017, Abdul Malik Mat Ariff menjaringkan sebarang gol selepas 6 perlawanan ternyata meresahkan penyokong Terengganu FC yang mengharapkan beliau kembali menemui sentuhan penyudahnya.
Pemain yang berasal dari Kuantan itu tekad akhiri kemarau gol dengan menjadikan Selangor sebagai mangsa pertama apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu untuk perlawanan pusingan ketiga Shopee Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.
“Saya perlu mandi bunga ni sebab masih belum temui gol,” katanya kepada Berita Harian.
“Siapa yang tidak mahu meledak jaringan dalam setiap perlawanan apatah lagi penawar seseorang penyerang adalah menghasilkan gol termasuk saya sendiri.
“Tapi sehingga kini saya masih gagal mencetak nama sebagai penyerang walaupun sudah berusaha sedaya upaya untuk melakukannya, namun saya percaya suatu hari nanti tiba masanya buat saya meledak jaringan,” jelasnya.
Musim lepas beliau mencatat nama sebagai penjaring terbanyak tempatan selepas meledak 18 jaringan iaitu 15 gol dalam aksi Liga Perdana manakala selebihnya dalam saingan Piala FA.
Musim ini beliau mahu mengulangi semula pencapaian itu tetapi mengakui perlu bekerja keras dalam sesi latihan dan memperbaiki teknik penyudah.
“Tiada kaedah lain kecuali saya perlu menggandakan lagi latihan selain perlu tenang depan gol bagi memburu jaringan pertama bertemu skuad The Red Giants nanti,” katanya.
Skuad Terengganu FC berwaspada terhadap ancaman The Red Giants yang pasti mahu membalas dendam setelah mereka membelasah pasukan itu, 4-1 dalam saingan Liga Super minggu lepas.