Walaupun Pahang merupakan antara pasukan pilihan berdasarkan prestasi semasa mereka dalam saingan Liga Super musim ini, namun reputasi hebat skuad Tok Gajah itu ternyata tidak gentarkan juara bertahan Piala FA, Kedah.
Menurut pengurus Kedah, Syed Khairol Anuar berkata kepada Sinar Harian, skuad kendalian Ramon Marcote itu akan membawa barisan terkuat ke Kuantan untuk memastikan impian untuk melangkah ke suku akhir tercapai.
“Tewas mengejut kepada Kuala Lumpur pada perlawanan kelima Liga Super 2018 harus dijadikan pengajaran kepada semua pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya bertemu Pahang.
“Kami mahu mempertahankan Piala FA yang dijulang pada musim lalu bertemu Pahang dan sekali lagi kami akan berdepan mereka lebih awal di peringkat pusingan ketiga pada Sabtu ini,” katanya.
Beliau juga mengakui Pahang merupakan antara pencabar terkuat Liga Malaysia musim ini berdasarkan prestasi semasa mereka mencatat 3 kemenangan 1 seri dan 1 kalah selepas lima perlawanan dalam saingan Liga Super.
“Kedah perlu membuktikan kewibawaan serta prestasi terbaiknya kerana semua sedia maklum Pahang bukan calang-calang pasukan dan antara pasukan terkuat untuk ditentang dalam Liga Malaysia khususnya Piala FA seperti musim lalu.
“Kami tetap pergi ke Kuantan dengan penuh keazaman dan bertekad untuk mempertahankan Piala FA… walaupun kami juara bertahan, namun kami tetap menganggap pasukan ini sebagai underdog.
“Kami hormati kekuatan dan keupayaan lawan yang mana anda sedia maklum mereka berada di preetasi terbaik ketika ini ditambah pula dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan baru-baru ini pastinya mencetus motivasi tinggi buat mereka beraksi di laman sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya Tok Gajah masih lagi ada kelemahan walaupun rata-rata melihat pasukan tersebut mempunyai jentera serangan yang baik apabila dibarisi pemain import berkualiti.
“Sudah tentu persediaan rapi akan dilakukan oleh Ketua Jurulatih, Ramon Marcote bagi menghadapi perlawanan ini dengan menambah baik dan membaiki kelemahan yang dipamerkan oleh Kedah semasa tewas kepada Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.