Piala FA 2018: Kedah Jumpa Negeri Sembilan Tanpa Pablo Pallares

Skuad Helang Merah bakal berhadapan masalah dibahagian serangan apabila tonggak import pasukan itu, Pablo Pallares dikatakan tidak dapat beraksi untuk pertemuan menentang Negeri Sembilan pada perlawanan Piala FA malam ini.

Hal ini disahkan sendiri oleh pengendali Kedah, Ramon Marcote yang mengatakan Pablo Pallares tidak dapat beraksi akibat kecederaan kaki.

Marcote berkata kepada Berita Harian, beliau terpaksa membuat pelan B demi memastikan jentera serangan Kedah terus tajam untuk memastikan kemaraan juara bertahan Piala FA itu ke pusingan seterusnya.

Malah beliau turut mengesahkan bintang muda pasukan itu, Akhyar Rashid turut termasuk dalam senarai kecederaan.

“Seorang lagi pemain yang turut mengalami kecederaan ialah pemain sayap, Akhyar Rashid yang kemungkinan tidak dapat beraksi.

“Pada sesi latihan semalam, kita membuat beberapa persiapan termasuk pengganti bahagian penyerang dan sayap untuk menghadapi sebarang kemungkinan seandainya mereka tidak dapat beraksi,” katanya.

Marcote sedang memikirkan strategi terbaik untuk mengekang kemaraan Negeri Sembilan malam ini. FOTO: KFA

Ketiadaan 2 tonggak ternyata tidak mengusarkan Marcote kerana dia ada banyak pilihan lain yang mampu mengisi kekosongan 2 pemain itu.

“Saya yakin kita mempunyai pilihan pemain yang dapat memberi impak terbaik di bahagian serangan antaranya Zafuan Azeman, Farhan Roslan, Andik Veemansyah, Sandro Da Silva dan lain-lain.

“Pablo yang berjaya mengejutkan peminat dengan sentuhan gol pertama Kedah sewaktu bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 3 Februari lalu diharap menjadi peledak utama skuad Lang Merah musim ini.

“Pastinya kita mempunyai perancangan lebih rapi berbanding sebelum ini, terutama selepas menempa kemenangan pada perlawanan Liga Super menentang PKNS FC Ahad lalu.

“Tahap keyakinan semua pemain kini semakin meningkat dan ia menjadi pendorong untuk kita buru kemenangan ke atas Negeri Sembilan di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Piala Malaysia 2016 berakhir dengan keputusan seri 0-0 di Paroi dan Kedah menang 5-0 di Stadium Darul Aman.

Negeri Sembilan kali ini dibimbing oleh bekas jurulatih Kedah yang pernah membawa skuad helang merah itu muncul juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah.

Leave a Reply