Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang, Mohamed Azlan Hyder Ali menegaskan kepada Semuanya BOLA bahawa kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) masih relevan dan wajar diteruskan.
“Bagi saya kejohanan PERR ini masih releven memandangkan ini adalah kejohanan paling lama di Malaysia, memasuki tahun ke-77.
PERR juga adalah pentas kepada pemain yang tidak mendapat tempat di liga utama untuk menunjukkan kebolehan mereka,” ujar Azlan kepada Semuanya BOLA.
Disebalik kesuraman dan episod duka Harimau Kumbang dalam saingan Liga Super musim ini, penyokong Pulau Pinang sudah boleh beralih untuk menyokong skuad PERR mereka yang telah melangkah ke peringkat separuh akhir.
Pulau Pinang dijadualkan akan menentang Selangor pada 21 Oktober ini di Stadium Sungai Besar, Selangor sebelum beraksi di laman sendiri, minggu berikutnya. Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Kuala Lumpur dan Kelantan.
Kejohanan yang diasaskan pada tahun 1922 ini sudah memasuki edisi ke-77 pada tahun ini. Dan atas beberapa faktor, ia juga pernah tidak dilangsung dalam beberapa tahun antaranya ketika Perang Dunia ke-2.
Skuad PERR Pulau Pinang 2017
Untuk menyertai PERR, Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang (PBMPP) telah membuat sesi pemilihan terbuka sebanyak lima kali dan ianya bermula sekitar bulan Mei hingga Julai yang lalu.
“Hampir 200 pemain telah datang untuk sesi pemilihan tersebut, walaupun kita hanya mengiklankan dan ia menjadi tularkan dalam masa 2 hari,” ujar Azlan yang memaklumkan skuad akhir dimuktamadkan pada Julai lalu.
Terdapat juga pemain-pemain berpengalaman di dalam skuad ini antaranya penjaga gol, Amir Omar Khata, Shafiq Safaruddin, Syamil Masdokhi, Khairul Iskandar Ismail serta Mohd Baser Napae.
Menurut Azlan, pemain-pemain berpengalaman tersebut juga telah dijemput menyertai sesi pemilihan terbuka yang dianjurkan oleh PBMPP. Tindakan ini adalah untuk berlaku adil kepada semua pihak.
Pemain-pemain yang terpilih dari sesi pemilihan tersebut telah diadun bersama pemain berpengalaman yang terpilih untuk membentuk skuad PERR Pulau Pinang pada edisi 2017 ini.
Pemain termuda di dalam skuad kali ini adalah Lukman Hakim Abdullah yang berusia 18 tahun, berasal daripada Baling, Kedah. Kejohanan PERR telah mensyaratkan untuk 2 pemain berusia bawah 21 tahun berada di dalam padang.
Pulau Pinang Raih Posisi Kedua Kumpulan
Untuk edisi kali ini, PERR disertai 19 pasukan dan dipecahkan kepada empat kumpulan. Pulau Pinang diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Kelantan, Melaka, ATM dan MCFA dengan Pulau Pinang bertindak sebagai tuan rumah.
Bagi Azlan, dalam aksi kumpulan, Kelantan adalah pasukan yang telah memberi cabaran kuat buat Pulau Pinang. Kelantan telah muncul johan Kumpulan D, apabila berjaya menundukkan Pulau Pinang.
“Walaupun pasukan Pulau Pinang tewas 0-2 pada perlawanan tersebut, namun gol pasukan Kelantan dihasilkan selepas pasukan Pulau Pinang dipaksa beraksi dengan 10 orang,” ujar Azlan.
Berikut adalah keputusan perlawanan yang melibatkan Pulau Pinang di peringkat kumpulan:
- Pulau Pinang 0-2 Kelantan
- Pulau Pinang 2-1 ATM
- Pulau Pinang 3-0 Melaka
- Pulau Pinang 2-0 MCFA
Ketika ditanya Semuanya BOLA, adakah faktor tuan rumah membantu Pulau Pinang untuk edisi kali ini, Azlan jelas sedikit kurang bersetuju dengan kenyataan tersebut.
“Mungkin juga (sebab faktor tuan rumah). Tetapi faktor utama adalah dari para pemain sendiri yang hadir untuk berlatih enam kali dalam seminggu.
Hampir semua pemain turun mulai dari 17 Julai sehingga kejohanan berlangsung pada 20 September lalu,” terang Azlan yang turut menyatakan tiada pemain yang gagal hadir tanpa sebab sepanjang sesi latihan.
Sasaran Pulau Pinang Dalam PERR 2017
“Sebagai tuan rumah, PBMPP berazam untuk merangkul kejuaraan kali ke-9 pada kali ini memandangkan kali terakhir memenangi kejohanan ini ialah pada 2002,” penasihat PBMPP, YB Dato’ Mohd Rashid bin Hasnon.
Itu merupakan sasaran daripada pihak pengurusan untuk skuad PERR Pulau Pinang kali ini. Menurut Azlan, pada edisi lalu, Pulau Pinang telah kandas awal di peringkat kumpulan.
“Sasaran pengurusan kali ini adalah menjadi juara memandangkan kali terakhir adalah pada 2002 semasa jurulatih sekarang adalah pemain iaitu Rahim Hassan dan Nordin Kamis,” jelas Azlan lagi.
Pada edisi tersebut, Pulau Pinang menumbangkan jiran setempat, Kedah dalam perlawanan akhir dengan keputusan 1-0. Sementara kali terakhir Pulau Pinang beraksi di pentas final adalah pada edisi 2008, tewas 0-4 kepada Kelantan.
Berikut adalah 8 edisi di mana Pulau Pinang merangkul kejuaraan PERR:
- 2002: Pulau Pinang 1-0 Kedah
- 1998: Pulau Pinang 2-2 (pen 5-4) ATM
- 1986: Pulau Pinang 5-0 Kuala Lumpur
- 1969: Pulau Pinang 2-1 Johor
- 1968: Pulau Pinang 4-2 Selangor
- 1966: Pulau Pinang 2-1 Singapura
- 1956: Pulau Pinang 3-2 Singapura
- 1951: Pulau Pinang 2-1 Selangor
Menentang Selangor di Separuh Akhir
Pulau Pinang layak ke separuh akhir selepas menewaskan Putrajaya dalam aksi suku akhir dengan agregat 3-1. Terikat tanpa jaringan di laman lawan, Pulau Pinang lantas bangkit di laman sendiri.
Selangor adalah lawan yang bakal ditempuhi Pulau Pinang dalam misi untuk mara ke final, dan menyukarkan buat Pulau Pinang apabila sekali lagi akan beraksi di gelanggang lawan terlebih dahulu.
“Saya merasakan pasukan Selangor kuat untuk edisi kali ini memandangkan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) telah bermain dalam Piala FAM.
Jadi, keserasian pemain sudah ada dari awal tahun, dikuatkan lagi dengan penambahan pemain dari pasukan Piala Presiden Selangor,” jelas Azlan mengenai kekuatan pasukan lawan.
Menurut Azlan, menentang Selangor kali ini, Pulau Pinang mensasarkan untuk memburu gol di tempat lawan, seterusnya mengekalkan rentak kemenangan di tempat sendiri untuk melangkah ke final.
Rekod pertembungan terkini kedua-dua pasukan menyaksikan Selangor merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang dalam aksi persahabatan pada 10 September lalu, di Stadium Mini Penjara Kajang.
Penutup
Walaupun kejohanan PERR kurang mendapat tempat di media tempatan, seperti kata Azlan, kejohanan ini masih relevan buat pemain-pemain yang tidak mendapat perhatian pasukan-pasukan liga utama negara.
Di sinilah tempat buat para pemain tersebut untuk menunjukkan bakat masing-masing disamping berpeluang berbakti kepada negeri. Mungkin pihak penganjur boleh merevolusikan kejohanan ini agar tampak lebih menarik dan mampu menarik perhatian ramai.
Dalam kenyataan media baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Perlis, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad telah menyuarakan pandangan bahawa pertandingan bola sepak tertua negara ini seperti ‘hidup segan, mati tak mahu’.
Menurutnya, ia adalah disebabkan kekurangan penajaan kepada pasukan-pasukan bertanding disebabkan tempoh masa pertandingan yang pendek dan berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat membantu untuk menyuntik dana.
Menurut laman facebook PBMPP, sempena perlawanan separuh akhir pertama, PBMPP akan menyediakan satu bas percuma kepada para penyokong Pulau Pinang yang ingin turut serta menyokong skuad PERR Pulau Pinang di Selangor, pada Sabtu ini.