Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kini dalam proses untuk menimbang keputusan menarik semula hak tuan rumah bagi saingan Piala Dunia B-20 yang diberikan kepada Indonesia.
Pertimbangan ini berpunca selepas terdapat dua bandar di negara tersebut yang tidak mahu menerima skuad Israel ke kawasan mereka selepas pasukan tersebut berjaya layak ke kejohanan terbabit.
Sebelum ini, majlis untuk peringkat kumpulan juga terpaksa dibatalkan selepas FIFA campur tangan kepada situasi ini.
Mengikut jadual, ianya sepatutnya diadakan pada 31 Mac ini.
🚨Corre riesgo de suspenderse el Mundial Sub 20 que debe realizarse en Indonesia.
*️⃣Según un propio comunicado de la federación, puede cancelarse el evento ya que el local no quiere la participación de Israel y eso llevaría a FIFA, que aún no se expidió oficialmente, a decidir. pic.twitter.com/U3Gv1gKF5G— César Luis Merlo (@CLMerlo) March 26, 2023
Hasil daripada itu, FIFA terbuka kepada beberapa alternatif dengan Indonesia terus kekal sebagai tuan rumah.
Antaranya adalah dengan mengadakan perlawanan yang melibatkan Israel di Singapura sehingga tamat kejohanan.
Namun begitu, ianya seperti tampak tidak praktikal dengan FIFA berasakan ada satu keputusan yang lebih baik boleh diambil.
Keputusan tersebut adalah dengan membatalkan hak tuan rumah Indonesia dan menyerahkan kepada Qatar.
Hal ini kerana, Qatar dikatakan bersedia untuk menggantikan Indonesia dengan tuan rumah Piala Dunia 2022 tersebut bersedia pada bila-bila masa untuk menggantikan mereka.
Akan tetapi, apakah nasib Indonesia jika hak tuan rumah diberikan kepada Qatar? Adakah penyertaan mereka akan terus kekal dalam kejohanan ini atau sebaliknya?
Jika hak diberikan kepada Qatar, Indonesia dilihat berpotensi untuk kehilangan tempat dalam kejohanan ini kerana mereka cuma layak atas kapasiti sebagai tuan rumah sahaja.
Dengan tempoh kelayakan yang sudah tamat, pastinya tiada jalan lagi untuk mereka melayakkan diri ke pusingan akhir.
Perkara ini pastinya merugikan Indonesia yang sudah melakukan persiapan hampir setahun demi beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri menentang negara-negara handalan dunia.
Mereka jelas tersepit sama ada hendak terus mengekalkan penganjuran Piala Dunia ini atau teguh dengan pendirian tidak membenarkan anak-anak Israel menjejakkan kaki ke negara mereka.
Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa – setiap tindakan bakal tentukan nasib Indonesia.