Saingan kumpulan D Piala Dunia 2018 menyaksikan Argentina berada dalam misi penting untuk mara ke peringkat seterusnya.
Lawan mereka bukanlah mudah kerana mereka bertemu dengan Nigeria yang turut mahu mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.
Argentina yang menurunkan skuad kuda tua menentang Nigeria kali ini dengan purata 30 tahun dan 189 hari.
Juara dunia 2 kali itu berjaya mendahului perlawanan ini apabila hantaran Ever Banega jauh mencari Lionel Messi.
Messi dengan kaki kanan beliau merembat masuk untuk menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-14.
Argentina dilihat lebih dominan dalam perlawanan ini walaupun kadar hantaran mereka cukup teruk terutamanya pada 15 minit pertama permainan.
Nigeria pula dilihat gagal memberikan saingan kerana mereka jarang memperoleh peluang untuk menggangu pintu gol Argentina.
Wakil Afrika itu berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-51 selepas Victor Moses menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.
Sepakan penalti itu hadir selepas Javier Mascherano melakukan kekasaran kepada pemain Nigeria sewaktu situasi sepakan penjuru.
Selepas menjaringkan gol penyamaan, Nigeria terus memperlahankan rentak permainan dengan bermain bertahan dan hanya membenarkan Argentina memegang bola.
Argentina terselamat apabila rujukan Video Assistant Referee (VAR) telah menafikan mereka selepas bola terkena tangan Marcos Rojo dalam kotak penalti.
Bola itu telah dikelaskan oleh pengadil sebagai bola kepada tangan (ball to hand) dan bukannya bola terkena tangan atau handball.
Gonzalo Higuain melepaskan peluang terbaik untuk memenagi perlawanan ini pada minit ke-80 namun rembatan kaki kiri beliau melambung tinggi.
Argentina berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 menerusi Rojo yang melakukan rembatan voli dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang Gabriel Mercado.
Secara keseluruhannya, Argentina berusaha keras dalam perlawanan ini namun ia dikecewakan oleh ketumpulan teknikal terutamanya ketika Argentina melakukan hantaran.
Sementara bagi Nigeria, mereka kurang bernasib baik walaupun mengharungi kejohanan yang agak baik bagi mereka.
Keputusan penuh, Nigeria 1-2 Argentina