Korea Selatan bertemu dengan pasukan Jerman dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.
Kedua-dua pasukan yang masih berpeluang mara ke pusingan seterusnya perlu menang untuk layak ke pusingan seterusnya.
Beberapa minit awal permainan menyaksikan Korea Selatan berjaya menghasilkan ancaman kecil kepada Jerman.
Namun selepas itu, Jerman terus menguasai permainan untuk memburu gol awal.
Korea Selatan hampir sekali mendahului pada minit ke-19 apabila sepakan percuma Jung Woo-Young muntah dari dakapan Manuel Neuer.
Neuer kemudiannya berjaya menolak bola itu keluar dari zon beliau.
Walaupun Jerman banyak menguasai bola, namun Korea Selatan lebih banyak melakukan percubaan ke pintu gol.
Son Heung-min melepaskan peluang keemasan apabila voli beliau melambung tinggi di hadapan pintu gol pada minit ke-25.
Separuh masa pertama tidak banyak perkara yang boleh dikatakan kerana kedua-dua pasukan dilihat terlalu berhati-hati dalam perlawanan ini.
Di separuh masa kedua menyaksikan tandukan Mesut Ozil dinafikan oleh penjaga gol Korea Selatan di awal permainan.
Timo Werner turut gagal menjaringkan gol pertama beliau di Piala Dunia apabila rembatan voli beliau tidak menepati sasaran.
Kontroversi melibatkan Korea Selatan apabila Son diberikan kad kuning kerana melakukan simulasi di dalam kotak penalti.
Mario Gomez yang masuk sebagai pemain gantian memberikan impak yang baik kepada Jerman.
Beliau mempunyai beberapa percubaan namun gagal disempurnakan.
Di saat Jerman mula meletakkan ramai pemain di bahagian serangan, Korea Selatan mula mengambil kesempatan apabila mereka berjaya mencuri bola.
Mereka melakukan serangan balas pantas untuk mencari gol namun apabila sampai di bahagian Jerman, mereka hilang arah untuk lakukan tindakan.
Korea Selatan hampir sahaja membunuh Jerman di masa kecederaan apabila mereka berjaya memperoleh gol tetapi gol tersebut dinafikan kerana ofsaid.
Namun begitu, hasil rujukan oleh Video Assistant Referee (VAR) telah memberikan gol tersebut kepada penjaring – Kim Young-Gwon.
Korea Selatan menutup sepenuhnya peluang Jerman apabila Son berjaya menjaringkan gol selepas mereka berjaya melakukan serangan balas pantas.
Son dengan mudah menolak bola itu ke dalam pintu gol yang kosong kerana Neuer tiada di gol!
Secara keseluruhannya, Jerman membazirkan terlalu banyak peluang dan Korea Selatan mengambil peluang mereka yang sedikit itu dengan menjaringkan gol.
Keputusan penuh, Korea Selatan 2-0 Jerman.