Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City berjaya menempah slot ke separuh akhir Piala Carabao selepas berhempas pulas menewaskan Leicester City dalam perlawanan yang berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat dengan 1-1.
Arsenal turut mengiringi City ke pusingan seterusnya menerusi jaringan tunggal Danny Wellbeck pada penghujung babak pertama untuk menafikan cabaran West Ham United.
Walaupun kedua-dua pasukan dilihat menurunkan kesebelasan pemain ‘kedua’ bagi menghadapi perlawanan pagi tadi, ianya belum cukup untuk Leicester City dan West Ham United untuk mencipta kejutan keatas pasukan pilihan ini.
Leicester City lawan Manchester City
Pep Guardiola ternyata menggunakan peluang ini bagi memberikan peluang kepada pemain yang jarang diturunkan dan juga pemain muda seperti Oleksandr Zinchenko, Abdul-Nasir Oluwatosin “Tosin” Adarabioyo, Phil Foden dan Brahim Diaz.
Pasukan tuan rumah juga turut merehatkan beberapa pemain utama dalam kesebelasan utama mereka seperti Riyad Mahrez, Jamie Vardy dan Demarai Gray yang hanya dimasukkan pada babak kedua.
Walaupun turun tanpa tonggak utama, ianya tidak menjadi masalah buat Manchester City apabila rancak melakukan serangan ke kubu Leicester.
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila gerakan solo yang dilakukan Ilkay Gundogan dari tengah dan kemudiannya beliau melorongkan bola kepada Bernardo Silva di dalam kotak penalti.
Silva dengan tenang berjaya menolak masuk bola melalui celah kaki penjaga gol, Ben Hamer pada minit ke-26 perlawanan.
Kemasukan Mahrez dan Vardy pada babak kedua berjaya meningkatkan aksi tuan rumah dengan beberapa siri serangan yang dicipta anak buah Claude Puel itu.
Ketika perlawanan hampir memihak Manchester City, Kyle Walker melakukan kesilapan dengan menjatuhkan Gray di dalam kotak penalti dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat Leicester pada masa kecederaan..
Vardy tidak mensia-siakan peluang bagi menyempurnakan sepakan tersebut untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Aksi di masa tambahan juga buntu untuk mencari pemenang dan akhirnya terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Tiga sepakan penalti terawal berjaya disempurnakan oleh kedua-dua pasukan. Gabriel Jesus kemudiannya menyempurnakan sepakan ke-4 sebelum sepakan Jamie Vardy dan Riyad Mahrez berjaya digagalkan oleh Claudio Bravo bagi membawa Manchester City ke aksi separuh akhir.
Arsenal lawan West Ham United
Jaringan tunggal Danny Wellbeck pada penghujung babak pertama sudah cukup buat Arsenal bagi meneruskan kemaraan dalam Piala Carabao.
Gol tersebut berpunca apabila umpanan menerusi tandukan yang dilakukan oleh pemain pertahanan, Mathieu Debuchy berjaya disempurnakan oleh Wellbeck untuk jaringan kemenangan tersebut pada minit ke-42.
Aaron Cresswell berpeluang untuk kembali menyamakan kedudukan, namun sepakan percuma yang diperoleh hanya sedikit tersasar.
Selepas itu tidak banyak aksi menarik dapat ditampilkan kedua-dua pasukan untuk Arsenal mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Carabao.