Juara bertahan, Manchester City melangkah ke suku akhir Piala Carabao setelah menewaskan Southampton di tempat sendiri.
Southampton mahu memperbaiki kerosakan mereka sebelum ini yang tewas 9-0 di tangan Leicester.
Pada hujung minggu lalu, para pemain dan jurulatih Southampton telah mendermakan gaji sehari mereka ke badan kebajikan tanda memohon maaf di atas aib yang mereka cipta.
Pep Guardiola membuat 9 pertukaran daripada kesebelasan utama menentang Aston Villa sebelum ini. Beliau menggandingkan Aguero dan Gabriel Jesus buat pertama kali di hadapan, pada musim ini.
Guardiola memberikan debut kepada pemain tengah berusia 18 tahun, Tommy Doyle, peminat City – anak jati Manchester yang merupakan cucu kepada legenda kelab, Mike Doyle.
Skuad bimbingan Ralph Hasenhuttl ketinggalan 1 gol di belakang. Manchester City menjaringkan gol menerusi Nicolas Otamendi yang menyambar kemas umpanan Bernardo Silva.
Sebelum wisel rehat, Sergio Aguero menjadikan kedudukan 2-0. Ia merupakan gol ke-11 Aguero dalam semua pertandingan setakat ini – pada musim ini.
Bersambung babak kedua, Aguero menambah 1 lagi koleksi gol beliau.
City sangat dominan dengan 19 percubaan ke arah gol. Pada satu ketikan Man City menguasai sehingga 89% perlawanan.
Sementara itu, Southampton menunggu sehingga lebih sejam untuk percubaan pertama mereka, pada minit ke-65.
Jack Stephens menjaringkan gol tunggan Southampton pada minit ke-75.
Tamat perlawanan Man City menang 3-1 untuk mara ke pusingan suku akhir.
Southampton akan kembali semula ke Etihad pada hujung minggu ini untuk perlawanan liga.